loading...

Wednesday, September 21, 2011

Hasrat Berjumpa TPM Tidak Kesampaian


 Inalillahi wainailaihi rojiun

MARANG – Hasrat seorang tokoh politik veteran untuk menghadiri Program Tinjauan Mesra Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dungun tidak kesampaian apabila kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan di sini, semalam.

Mangsa, Datuk Awang Jabar, 66, yang merupakan Penasihat Agama kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, terbunuh setelah kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Alor Tuman, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, Allahyarham yang juga bekas Setiausaha Parlimen di Kementerian Belia dan Sukan menaiki Mercedes-Benz dipandu pemandunya, Abdul Razak Awang, 45, sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Manakala kereta Perodua Alza dipandu seorang warganegara Yaman, Mohamad Hassan Ali, 30-an dengan membawa lima penumpang warganegara itu dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu, dipercayai dalam perjalanan ke Setiu untuk ke Pulau Redang.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, ketika kejadian, Allahyarham dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Dungun untuk menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri.

“Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan teruk pada bahagian tengkuk, manakala pemandunya (Mohamad Hassan) cedera ringan,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu di sini, semalam.

Menurutnya, Allahyarham Datuk Awang Jabar juga merupakan bekas Ahli Parlimen Dungun selama empat penggal sejak 1978 hingga 1990 dan menjadi wakil rakyat bagi Dun Bukit Besi pada 1995.

Difahamkan Allahyarham kini merupakan Penasihat Agama kepada Menteri Besar, selain memegang jawatan Pengerusi Biro Pemantau Umno Terengganu.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu dan disembahyangkan di Masjid Al Muktafibillah Shah, Ladang, sebelum dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.

Terdahulu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim yang ditemui di tempat kejadian berkata, kemalangan melibatkan Mercedes Benz dan Perodua Alza itu, turut mengorbankan seorang wanita manakala lima yang lain cedera.

“Seorang daripada penumpang kereta itu dikenali sebagai Nesma Nabil Abdul Karim Al-Saiban, 25, maut di tempat kejadian manakala yang lain mengalami cedera ringan serta parah dirawat di HSNZ Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, Perodua Alza yang dinaiki enam rakyat Yaman itu dalam perjalanan dari Dungun menghala ke Kuala Terengganu dikatakan gagal dikawal menyebabkan ia terbabas ketika melalui selekoh, lalu bertembung dengan kereta mangsa.

 Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my