loading...

Monday, September 19, 2011

Kemalangan konvoi motosikal berkuasa tinggi



ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi nyaris maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra, di Jalan Paya Rumput, Masjid Tanah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemilik motosikal jenis Yamaha, Anuar Ahmad, 30-an, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur melalui Port Dickson bersama sebelas anggota konvoi motosikal berkuasa tinggi yang lain.

Menurut rakan mangsa, Rosman Abd Mutalib, 50-an, berkata, sebaik melalui satu selekoh tajam, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum memasuki jalan bertentangan dan merempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki.

“Mangsa menunggang sendirian dan berada paling depan dalam konvoi ini. Ketika melalui selekoh, saya lihat motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.

“Ketika itu saya sendiri menyaksikan mangsa melambung dan tercampak di atas kereta itu sebelum jatuh di kaki lima jalan. Lalu, kami yang menunggang di belakang terus berhenti,” katanya.

Pemandu kereta terbabit dikenali sebagai Tan, 60, berkata, dia dari Ramuan China Besar menuju ke Sungai Udang cuba mengelak dari dirempuh motosikal ditunggangi mangsa dengan memaut stereng ke kiri, namun gagal.

“Disebabkan motosikalnya berada betul-betul di laluan saya, saya tidak boleh mengelak kerana sebelah kiri saya terdapat besi pengadang jalan dan sebelah kanan terdapat kenderaan lain.

“Saya tiada pilihan lain dan terpaksa merempuhnya, walau pun saya menekan brek untuk memberi laluan kepadanya tetapi kami tetap bertembung dan saya lihat mangsa berguling atas kereta saya dan jatuh atas jalan raya,” katanya.

Akibat rempuhan itu, pergelangan tangan mangsa patah. Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah oleh kenderaan penyelamat sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my