loading...

Saturday, September 24, 2011

Kemalangan Maut Dua Pekerja Pasaraya Tesco Rawang

 
IPOH, 23 Sept (Bernama) -- Dua pekerja pasar raya Tesco cawangan Rawang, Selangor terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori di Km 360.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tanjung Malim Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supt Osman Nayan berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu ialah penunggang motosikal Enthyran a/l Murthi, 21, dan pemboncengnya Sakinah Yusof, 20.

Enthyran yang berasal dari Rawang, manakala Sakinah dari Bercham di sini mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tanjung Malim untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila motosikal mereka dari Rawang ke Ipoh merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi lorong kecemasan.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke rumah Sakinah di Bercham, katanya.

Osman berkata lori berkenaan dikatakan diletakkan kerana kedua-dua tayarnya pancit, kata Osman.

Polis sedang menyiasat kes itu.

Dalam kejadian lain, seorang penumpang kereta terbunuh manakala pemandunya cedera selepas terbabas dan merempuh penghadang jalan di KM 384.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River malam semalam.

Osman berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 7 malam dikenali sebagai Ng Soon Hee, 41, yang mengalami cedera parah di perut akibat tertusuk besi penghadang berkenaan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Tanjung Malim untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan Chew Tsu Teik hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.
-- BERNAMA

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my