loading...

Wednesday, September 21, 2011

2 Kemalangan Selang 10 Minit


 Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA TINGGI: Teksi yang terputus dua selepas terbabas merempuh pokok tepi jalan hingga menyebabkan pemandunya terbunuh antara dua kemalangan berlaku berselang 10 minit di lokasi sama dipercayai berpunca hujan lebat hingga aliran air parit melimpah ke permukaan laluan di sini.

Dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Kota Tinggi-Kluang kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, teksi Proton Saga dipandu Ashari Mohd Said, 46, putus dua selepas terbabas dan berlanggar dua pokok di bahu kiri jalan terbabit, sebelum terhumban ke bawah cerun dari ketinggian kira-kira tiga meter.

Teksi yang remuk dan terputus bahagian tempat duduk hadapan itu menyebabkan Ashari meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya, Mohd Ikram Hakim Ramli, 15, yang duduk sendirian di belakang, cedera anggota tubuh badan termasuk terpaksa menerima 20 jahitan bagi luka pada lengan kirinya.

Ketika kejadian, Ashari dari arah Kota Tinggi sedang menghala ke Batu Ampat untuk menghantar Mohd Ikram Hakim, pelajar Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Taman Kota Jaya, yang menjadi penumpang tetapnya setiap hari untuk pulang ke rumah keluarga dekat Kampung Lukut.

Terdahulu, kira-kira 10 minit sebelum kemalangan teksi berkenaan, di kawasan lokasi sama, Proton Wira Aeroback yang dipandu Ketua Pemuda UMNO cawangan Batu Ampat, Hassan Rashid, 38, hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebatang pokok sebesar pemeluk di kiri bahu jalan.

Kejadian itu berlaku jam 1.20 tengah hari dalam hujan lebat ketika Hassan bersama rakannya, Zulkefli Rabu, 41, dalam perjalanan dari Kota Tinggi menghala ke Batu Ampat.
Zulkefli berkata, ketika menuruni laluan berbukit di situ, permukaan jalan kelihatan licin berikutan aliran air parit yang melimpah ke jalan raya ketika menghampiri selekoh di laluan berkenaan.

“Saya cedera ringan di mulut dan sakit dada akibat terhentak, manakala Hassan cedera pada batang hidung. Seorang pemandu yang melalui tempat kejadian yang sedang menghala ke Bandar Tenggara berpatah balik membantu kami ke Hospital Kota Tinggi (HKT)," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, ketika dihubungi mengesahkan dua kemalangan di lokasi hampir sama itu membabitkan satu kematian.

“Kematian membabitkan mangsa kemalangan kedua, seorang pemandu teksi yang mati di tempat kejadian, manakala penumpangnya yang juga seorang pelajar cedera.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HKT sebelum diserahkan kepada waris dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lukut,” katanya.

Ketua Kampung Kampung Lukut, Md Nor Lawang, yang ditemui ketika menziarahi keluarga Ashari di HKT, berkata, laluan di tempat kejadian itu memang merbahaya kepada pengguna jalan raya ketika ketika hari hujan.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my