loading...

Tuesday, September 20, 2011

Dua Kereta Bertembung

 

Inalillahi wainailaihi rojiun

BATU PAHAT: Perjalanan seorang pensyarah membawa isterinya untuk menghabiskan tempoh berpantang di rumah mereka dekat sini, bertukar tragedi apabila guru wanita itu bersama bayi sulungnya yang baru berusia 23 hari, antara tiga yang maut selepas dua kereta bertembung dalam kemalangan ngeri dekat Parit Yaani di sini, awal pagi semalam.

Kemalangan yang mengorbankan Azalina Mat Yasin, 27, dan bayinya, Nor Afiqah Sumai'ah, pada jam 1.05 pagi di Kilometer 51, Jalan Muar-Yong Peng dekat Parit Yaani, 10 kilometer dari kuarters Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading yang didiami suaminya, Mohd Hanizan Bahari, 28.
Turut terbunuh pegawai tentera yang bertugas di Taiping, Kapten Khairul Azam Buhari, 26, yang sedang memandu sendirian kereta Perodua Kancil dari arah Parit Sulong ke Yong Peng.

Ketika kemalangan berlaku, tiga beranak terbabit dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke kuarters berkenaan sambil ditemani ibu Hanizan, Habsah Ab Latiff, 58, dan ibu saudaranya, Khadijah Omar, 60, selepas Azalina yang juga guru J-QAF di Sabah bersalin sehari sebelum sambutan Aidilfitri lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.

Berikutan pertembungan antara Proton Waja yang dinaiki keluarga terbabit dengan Perodua Kancil itu, Azalina yang memangku Nor Afiqah, mati di tempat kejadian dalam keadaan memeluk erat bayinya.

Meskipun dipeluk erat oleh ibunya hingga akhir hayat wanita terbabit, Nor Afiqah Sumai'ah meninggal dunia ketika dikejarkan untuk rawatan di Hospital Batu Pahat (HBP).
Mohd Hanizan pula cedera parah dengan patah kaki kanan, manakala Habsah dan Khadijah yang turut cedera parah kini dirawat di HBP.

Sementara itu, hasrat Khairul Azam melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nurasreen Khalil, 26, pada Disember ini tidak kesampaian apabila beliau maut dalam kemalangan itu.

Nurasreen yang bergegas dari Kelana Jaya, Selangor ke rumah bakal mentuanya di Parit Sulong berkata, beliau tidak menyangka harapan mereka berdua untuk mengikat kasih dengan sebuah perkahwinan tidak kesampaian.

“Menggeletar badan ini selepas dimaklumkan oleh ayah Khairul Azam yang beliau terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawanya, saya terkilan, kelu dan tergamam kerana jodoh kami tidak kesampaian sedangkan persediaan perkahwinan sedang rancak disediakan.

“Namun begitu saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah daripada kereta terbabit terbabas memasuki laluan bertentangan menyebabkan kedua-duanya bertembung.


Hajat Tak Kesampaian

BATU PAHAT – Hajat seorang bapa yang mahu melihat anaknya menaiki pelamin hujung tahun ini tidak kesampaian apabila anaknya terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 5.1 Jalan Muar-Yong Peng kira-kira jam 1.05 pagi semalam.

Bapa mangsa, Buhari Ahmad, 56 berkata, mangsa Khairul Azam Buhari, 26, merupakan anak ketiganya yang disifatkan sebagai seorang yang pendiam tetapi mudah mesra dan disenangi seisi keluarga.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menyangka cuti yang diperoleh anaknya selama seminggu adalah cuti yang terakhirnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.

“Tidak ada perkara yang pelik berlaku, cuma yang kami sekeluarga terkilan ialah hajatnya untuk melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini tidak kesampaian akibat kemalangan yang menimpa ini.

“Saya dan keluarga menganggap pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada kami kerana sikapnya yang mengambil berat dan pandai mengambil hati semua ahli keluarga,” katanya kepada :Sinar Harian: di rumahnya di Parit Sulong, di sini semalam.

Dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kereta itu turut mengorbankan bayi berusia 23 hari bersama ibunya yang masih di dalam pantang, Azalina Mat Yassin, 26, yang dalam perjalanan ke Parit Raja, di sini, bersama suaminya, Mohd Hanizan Bahari, 28, yang masih mendapat rawatan di Hospital Batu Pahat akibat kecederaan dialaminya.

Menurut Buhari, mangsa yang berpangkat Kapten di Kor Jurutera, Rejimen Askar Diraja Taiping, Kem Sangro berkursus di Kluang selama dua minggu dan pada minggu ini adalah minggu terakhirnya menjalani kursus berkenaan.

“Kami sekeluarga menerima pemergiannya dengan menganggap ianya salah satu daripada ujian tuhan kepada kami.

“Apa yang kami paling sedih ialah hajat kami sekeluarga untuk melihatnya menaiki pelamin bersama tunangnya, Nurasreen Khalil, yang berasal dari Temerloh, Pahang hujung tahun ini tidak kesampaian,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Simpang 3 kira-kira jam 12.30 tengah Hari, semalam

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kemalangan berkenaan yang mengorbankan tiga nyawa.

Sumber: Sinar Harian
             Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my