loading...

Friday, September 23, 2011

Pelajar Pertaruh Nyawa Ke Sekolah


SEREMBAN: Kira-kira 1,000 murid Sekolah Kebangsaan Gadong Jaya, Labu, di sini, bertarung nyawa hampir setiap hari dengan melintas jalan raya di depan sekolah berkenaan yang menjadi laluan pelbagai kenderaan termasuk dipandu laju.

Selain itu, tiada elemen keselamatan disediakan seperti lampu isyarat, bonggol atau kehadiran warden trafik sekolah bagi memastikan murid melintas jalan dengan selamat.


Tinjauan Metroplus mendapati keadaan jalan itu amat sibuk terutama pada waktu tengah hari selain ada pengguna yang memandu laju berikutan jalannya menuruni bukit. Pemandu bas, Kamarudin Jani, 58, berkata jalan raya yang sibuk membahayakan keselamatan murid dan kenderaan dipandu laju seolah-olah tidak menghiraukan mereka yang melintas jalan.

Menurutnya, lokasi sekolah yang berdekatan jalan mewujudkan keadaan bahaya.


“Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera termasuk melihat sendiri suasana di kawasan ini.


“Kadangkala saya dan penduduk lain termasuk pengawal keselamatan membantu mengawal lalu lintas di situ. Namun, ia hanya langkah jangka pendek kerana ibu bapa mahu jaminan keselamatan lebih baik,” katanya.

Bagi bapa, Amirudin Md Zain, 42, walaupun garisan mengurangkan kelajuan dibuat di jalan itu, tetapi ia belum dapat menyedarkan pengguna supaya memperlahankan kenderaan terutama ketika menuruni bukit.


“Masalah ini sudah beberapa kali diajukan kepada pihak bertanggungjawab supaya melakukan sesuatu, namun permohonan itu diibaratkan umpama mencurah air ke daun keladi.

“Kami yang berada di kawasan berhampiran sekolah ini berasa takut untuk melintas jalan apatah lagi kanak-kanak kecil atau murid yang setiap hari terpaksa menggadai nyawa,” katanya.


Menurut beliau, pihak berkaitan perlu memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan nyawa murid sekolah terbabit dan pengguna lain.


“Saya mencadangkan supaya bonggol jalan dibina di kedua-dua arah jalan berkenaan termasuk mempercepatkan pembinaan lampu isyarat atau jejantas di depan sekolah terbabit,” katanya.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my