loading...

Monday, September 19, 2011

Topi 'kura-kura' Tidak Mengikut Piawaian Sirim


KUCHING 18 Sept. - Masih ramai penunggang motosikal di negeri ini memakai topi keledar separuh jenis 'kura-kura' walaupun topi keledar berkenaan tidak mengikut piawaian ditetapkan oleh Sirim kerana tidak praktikal.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Rano Aylwino Akat berkata, penunggang motosikal sepatutnya sedar bahawa topi keledar tersebut tidak dapat melindungi kepala sepenuhnya jika mereka terlibat dengan kemalangan.

"Kita tidak dapat menghalang topi keledar jenis ini daripada diimport masuk kerana ia diisytiharkan sebagai topi mainan ketika melalui pihak kastam. Masalahnya, para pengedar kemudiannya membekalkan kepada peniaga untuk dijual kepada penunggang motosikal.

"Jadi, terpulanglah kepada golongan itu untuk memilih topi keledar yang benar-benar menjamin keselamatan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan Konvoi Yamaha Trans Borneo Adventure 2011 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan Hong Leong Yamaha Sdn. Bhd., Leong King Choon.

Konvoi melibatkan 12 penunggang motosikal jenis Legenda 115ZR dan 135LC itu bakal merentasi bandar-bandar utama di negeri ini seperti Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Lawas sebelum menamatkan perjalanannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada majlis berkenaan, pihak Yamaha turut melancarkan kempen topi keledar dengan memberi peluang kepada para penunggang motosikal menukar topi keledar lama kepada yang baru.

Terdahulu dalam ucapannya, Rano berkata, sebanyak 1,586 kes kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di negeri ini direkodkan dari 2000 hingga 2010.

Jumlah itu katanya, merupakan 60 peratus daripada kemalangan maut di negeri ini.

"Selain itu, negeri ini mengalami kerugian dari segi sosioekonomi sebanyak RM1.9 bilion akibat kemalangan motosikal bagi tempoh sama.

"Sebab itu kita mempergiatkan kempen penggunaan topi keledar selamat dalam kalangan pengguna motosikal di samping menggalakkan para pengedar menjual topi keledar yang diperakui Sirim," katanya.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my