loading...

Wednesday, September 21, 2011

Kemalangan Teksi Limo


 REMBAU – Hasrat seorang isteri untuk bercuti bersama beberapa temannya ke Nepal berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila terbabit dalam kemalangan ngeri di kilometer 235.4, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.25 pagi itu, mangsa, Leong How Yin, 39, dari Bukit Beruang, Melaka, menaiki teksi limo jenis Naza Citra kira-kira jam 4.30 pagi, dipandu oleh Azahar Abdul Karim, 42, yang turut maut di tempat kejadian.

Menurut adik ipar mangsa, Leow Siew Ling, 30-an, dia tidak mengetahui kakak iparnya itu mahu melancong ke Nepal.

Katanya, dia hanya mengetahuinya sebaik sahaja menerima panggilan daripada abangnya, Leow Chee Keong, iaitu suami mangsa pagi tadi (semalam).

“Saya sangat terperanjat apabila mendapat panggilan telefon daripada abang yang memaklumkan isterinya maut ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melancong ke Nepal,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, isteri pemandu teksi terbabit, Rozana Othman, 39, berkata, dia tergamam apabila rakan suaminya yang datang ke kilang tempatnya bekerja di Alor Gajah, memaklumkan suaminya pengsan dalam kemalangan.

“Rakan suami datang ke kilang kira-kira jam 8 pagi. Dia kata suami kakak ditemui pengsan dalam kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, kakak begitu susah untuk mempercayainya kerana sudah mulai rasa tidak sedap hati,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di Hospital Tampin, hatinya luluh apabila mengetahui suaminya sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma dia kelihatan begitu gembira dua tiga hari ini.

“Kakak tidak sangka ia membawa maksud kurang baik kerana kami memang sentiasa gembira bersama,” katanya.

Rozana berkata, suaminya itu sudah setahun lebih bekerja sebagai pemandu teksi dan tidak pernah terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan sebuah lori yang membawa muatan kosong minuman beralkohol terbabas sendiri ke sebelah kanan jalan lalu merempuh pembahagi jalan dan kemudiannya merintangi jalan.

Menurutnya, dipercayai pemandu teksi yang ketika itu memandu di lorong paling kanan gagal mengelak dan melanggar lori terbabit.

“Dipercayai sebuah lagi kereta jenis Mitsubishi yang ingin mengelak turut terbabas ke dalam longkang di kiri jalan tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Pemandu lori, seorang lelaki India Muslim dan juga pemandu kereta yang terbabas ke dalam longkang iaitu lelaki Cina berusia lingkungan 20-an sudah membuat :laporan polis,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang awam yang melihat kejadian berkenaan diharap dapat menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan menerusi talian 06-6852222.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my