loading...
Wednesday, December 19, 2012
Kanak-kanak 3 tahun tercampak dari kereta
Inalillahi wainailaihi rojiun
19 Disember 2012
NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut apabila diseret sejauh 10 kilometer selepas tercampak keluar daripada kereta yang dinaikinya, dalam kejadian di KM 168.4 Lebuhraya Utara-Selatan, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata mayat Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam ditemui dalam keadaan menyayat hati di Hentian Sungai Bakap, tiga jam selepas kejadian pada jam 8.45 malam itu.
Ia berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47, cuba mengelak daripada melanggar seekor haiwan sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan diheret kenderaan lain, sementara tiga lagi adik beradik mangsa tercampak ke dalam longkang," katanya di sini, hari ini.
Mereka dikenali Zulqarnain Aslam, 14, Sharol Ramadhan, 12 dan Nur Aisyah Aslam, 2.
Shafien berkata, kesemua mereka termasuk bapa hanya mengalami cedera ringan.
Menurut beliau, dua lagi penumpang iaitu ibu mangsa Nuris Berutu, 40, dan adik perempuannya Nurjadi, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Difahamkan keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Ipoh dan polis yakin kereta itu dipandu dengan begitu laju," katanya.
Menurutnya, semua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilapor stabil.
Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10,000 serta digantung lesen memandu selama setahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Bercuti di Bukit Merah Laketown Resort
NIBONG TEBAL 19 Dis. - Keriangan sebuah keluarga dari Pulau Pinang bercuti di Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada ahli keluarga itu terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 168.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Nibong Tebal malam tadi.
Lebih menyayat hati, mangsa yang maut, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, 3, diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan lain dipercayai lori.
Mayat Muhammad Aslam Maricar ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh orang awam di Hentian Sebelah Sungai Bakap selepas kemalangan itu yang berlaku pukul 8.45 malam.
Bapa mangsa, Said Ibnu Aslam S.M. Ismail, 47, serta dua anaknya iaitu Zulqarnain Aslam, 14, dan Shahrol Ramadhan, 12; ibu mangsa, Nuris Berutu, 40, dan adiknya perempuannya Nurjadi Berutu, 28, cedera ringan manakala Nur Aishah Aslam, 2, masih dirawat di Hospital Seberang Jaya akibat cedera di muka, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, nahas berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Ayer Itam, Pulau Pinang selepas bercuti di pusat rekreasi tersebut.
Kata beliau, Said Ibnu Aslam yang memandu kereta jenis Ford Laser itu dipercayai cuba mengelak seekor haiwan dipercayai anjing yang berada di laluan kenderaannya.
Menurut beliau, bagaimanapun kereta dipandunya itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya dan berpusing beberapa kali.
Berikutan rempuhan itu, tiga anaknya berusia 2 hingga 12 tahun yang duduk di belakang tercampak keluar menerusi cermin kereta yang pecah," katanya.
Kanak-kanak itu iaitu Shahrol Ramadan dan Nur Aishah Aslam tercampak ke dalam longkang berhampiran dan mengalami cedera ringan manakala Muhammad Aslam Maricar dipercayai tercampak di atas lebuh raya sebelum digilis dan diseret sebuah kenderaan lain," katanya di sini hari ini.
Menurut Shafien, mayat Muhammad Aslam Maricar dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya kira-kira pukul 4 pagi ini untuk dikebumikan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Radzy Rasul di talian 04-5824222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Said Ibnu Aslam ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya di sini berkata, selepas terlibat dalam kemalangan itu, dia hanya menyedari Muhammad Aslam Maricar hilang apabila gagal menemui anaknya walaupun telah mencarinya di sekitar kawasan kemalangan dengan bantuan orang ramai.
Pada mulanya saya mengesyaki Muhammad Aslam Maricar tercampak ke dalam belukar berhampiran dan saya mencarinya di kawasan tersebut selama kira-kira dua jam tetapi tidak menemuinya.
Kira-kira pukul 11 malam iaitu tiga jam selepas kemalangan, ada orang telefon saya dan beritahu anak saya sudah ditemui dan minta saya ke hospital dengan segera," ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat polis, mayat anaknya ditemui orang awam di laluan kecemasan berhampiran Hentian Sebelah Sungai Bakap iaitu kira-kira 10 kilometer dari tempat kemalangan.
Tambahnya, ketika ditemui mayat anaknya sudah hancur dipercayai digilis oleh kenderaan yang mengheretnya.
Walaupun sedih dengan kejadian itu, namun saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya satu ujian dari Allah," katanya.
Elak bangkai anjing
Katanya, kemalangan berlaku apabila beliau cuba mengelak bangkai anjing sebelum hilang kawalan menyebabkan kenderaan berpusing lalu melanggar pembahagi kanan dan kiri lebuh raya.
“Pada masa sama, saya melihat dua anak saya, Nur Aisyah Aslam dan Muhammad Aslam Maricar yang duduk di belakang tercampak keluar dari kenderaan manakala saya, isteri, adik ipar dan dua lagi anak saya tetap dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di HSJ, semalam.
Said Ibnu Aslam berkata, selepas kejadian itu, dia segera mencari dua anaknya sebelum menemui anak bongsu tertiarap dalam longkang, kira-kira lima minit kemudian manakala usaha mencari Muhammad Aslam Maricar di sepanjang lebuh raya termasuk hutan berhampiran selama lebih dua jam menemui kegagalan.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia menerima panggilan seorang lelaki yang memintanya ke hospital dengan memaklumkan anaknya sudah ditemui dan berada di sana.
“Saya menyangka anak saya ditemui dalam keadaan selamat tetapi sedih selepas mengetahui Muhammad Aslam Mericar sudah meninggal dalam keadaan menyayat hati,” katanya yang reda dengan pemergian arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyiasat kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui 10 kilometer dari lokasi kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, kira-kira tiga jam selepas kemalangan.
“Ketika ditemui, mayat sudah hancur. Siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu dengan pemandu dan penumpang hanya cedera ringan dan dirawat di HSJ,” katanya.
Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Kanak-kanaktigatahunmautdiseretdalamkemalangandiPLUS/Article/
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_27/Budak-3-tahun-maut-diseret-10km
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment