loading...

Tuesday, December 18, 2012

Remaja Maut rempuh lampu isyarat


18 Disember 2012 
SERI KEMBANGAN – Seorang remaja terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas dan berpusing sebelum melanggar tiang lampu isyarat di Taman Puncak Jalil di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Yeo Dun Mai, 17, dikatakan memandu kereta Perodua Myvi dari arah Puncak Jalil ke Bandar Kinrara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kereta mangsa yang gagal dikawal masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Myvi yang datang dari arah Puncak Jalil hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan kenderaannya berpusing beberapa kali.

“Kereta itu kemudian melanggar tiang lampu isyarat dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jalil,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta Honda City tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595 untuk membantu siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/remaja-maut-kereta-berpusing-1.113505


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my