loading...
Thursday, December 20, 2012
2 sahabat warga emas maut
20 Disember 2012
PONTIAN - Hasrat empat sahabat warga emas untuk bercuti di Tanjung Balai, Indonesia tidak kesampaian apabila dua daripadanya terbunuh dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Benut di Kilometer 85.9, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di sini, awal pagi semalam.
Ng Cheng Thiam, 76, pemandu kereta Proton Iswara Aeroback berwarna merah dan rakannya Go Asing, 74, yang menumpang di tempat duduk belakang sebelah kanan maut dalam kejadian 6.30 pagi itu.
Manakala, dua rakannya dikenali sebagai Tan, 60 dan Lim, 70, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Semua mangsa berasal dari Bukit Pasir, Muar, dan dalam perjalanan ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk menaiki feri ke Tanjung Balai, Indonesia.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, mengesahkan kejadian berkata, kereta yang dipandu Cheng Thiam bersama tiga lagi rakannya datang dari arah Simpang Renggam sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah Batu Pahat dan Pontian di simpang empat lampu isyarat di Benut.
“Berikutan lampu isyarat yang tidak berfungsi di persimpangan itu, kedua-dua kereta bertembung.
“Pemandu wanita yang turut memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari arah Batu Pahat dan Pontian hanya mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mayat terlibat dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Lim berkata, dia bersama Cheng Thiam dan tiga lagi rakannya bertolak dari Muar sekitar jam 5 pagi untuk pergi bercuti ke Tanjung Balai, Indonesia.
Dia yang duduk di bahagian belakang sebelah kiri berkata, sebaik tiba di persimpangan empat Benut, dia mendapati lampu isyarat di kawasan terbabit tidak berfungsi dan hanya menunjukkan warna kuning.
“Sampai saja di persimpangan empat itu, tiba-tiba sebuah kereta melanggar arah kanan kereta kami. Dentumannya yang amat kuat membuatkan saya tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa.
“Cheng Thiam yang memandu, sempat keluar dari kereta untuk memberi pertolongan dengan menarik keluar Go Asing yang duduk di belakang pemandu.
“Sebaik saja Go Asing berjaya ditarik keluar, tiba-tiba Cheng Thiam jatuh rebah dan terus tidak bergerak begitu juga dengan Go Asing,” katanya.
Selain itu, katanya, mereka berempat sudah lama merancang untuk pergi ke Tanjung Balai, Indonesia dan akhirnya rancangan itu terpaksa dibatalkan sekaligus terpaksa pulang ke Muar.
Pada masa sama, percutian yang dirancang penuh kegembiraan tanpa diduga meragut nyawa dua rakan mereka.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/dua-warga-emas-maut-1.114029
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment