loading...
Saturday, December 22, 2012
Nyaris maut gara-gara anjing
22 Disember 2012
PORT DICKSON - Dua beradik nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas selepas cuba mengelak seekor anjing yang berada di atas jalan raya sebelum melanggar papan tanda di Taman Sri Kemuning berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, malam kelmarin.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.15 malam itu mengakibatkan kereta yang dipandu oleh M. Revathi, 21, remuk di bahagian hadapan.
Revathi berkata, dia dan adiknya M.Ramanan, 18, memandu dari arah Port Dickson menuju ke Lukut selepas selesai bekerja di restoran makanan segera.
“Sampai di selekoh di Taman Sri Kemuning, tiba-tiba saya tengok ada anjing di tengah-tengah jalan dan saya cuba mengelak anjing itu.
“Sedar-sedar saya dah melanggar papan tanda di tepi jalan. Saya menggigil kerana takut. Nasib baik kami tak alami kecederaan cuma terperanjat, " katanya.
Sementara itu Ramanan, berkata, dia kesal kerana terdapat banyak anjing liar yang berkeliaran di laluan berkenaan terutamanya pada waktu malam.
“Saya dan kakak sering menggunakan laluan ini untuk pergi dan pulang dari tempat kerja, dan hari ini (kelmarin) nasib kami kurang bernasib baik.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengambil tindakan terhadap anjing-anjing liar yang banyak terdapat di Port Dickson kerana boleh membahayakan pemandu kereta dan motosikal.
“Mujur tidak mengalami kecederaan, cuma kereta yang teruk tetapi tidak selamanya pengguna jalan raya akan bernasib baik,” katanya.
Dalam pada itu, seorang saksi yang membantu mangsa kemalangan, R. Raja, 28, berkata, kawasan itu sememangnya banyak terdapat anjing liar yang mengganggu lalu lintas di kawasan ini.
Menurutnya, beberapa kejadian sedemikian berlaku sebelum ini dan berharap PBT mengambil iktibar supaya kejadian sama tidak berulang lagi.
"Kemalangan berpunca dari anjing boleh merosakkan imej Port Dickson sebagai kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar Negara, " katanya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan kejadian itu dan polis akan menyiasat kejadian itu.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-terbabas-elak-anjing-1.114606
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment