loading...
Friday, December 21, 2012
Proton Iswara terbakar tiba-tiba
21 Disember 2012
MUAR – Seorang kerani wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya secara tiba-tiba mengeluarkan api pada bahagian enjin sebelum membakar bahagian hadapan kereta itu.
Kejadian kira-kira jam 6.10 petang berlaku di Jalan Sungai Abong, berhampiran dengan Taman Seri Mulia, Sungai Abong, di sini, kelmarin.
Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30 an dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Sungai Abong, berdekatan dengan lokasi kejadian.
Lim yang memandu sendirian berkata, dia terhidu bau hangit yang disusuli dengan asap dan api keluar dari bahagian enjin ketika melewati jalan Taman Seri Mulia.
“Saya jadi panik lalu segera menghentikan kereta di tepi jalan seterusnya segera berlari menyelamatkan diri kerana bimbang kereta meletup.
“Saya juga menghubungi abang yang kemudiannya datang dengan membawa alat pemadam api untuk cuba memadamkan kebakaran, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang seterusnya mengerahkan sebuah jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.
“Operasi itu diketuai oleh Pegawai Operasi, Rahman Taib. Semasa pasukan ini tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan bahagian enjin kenderaan.
“Bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran dan operasi tamat pada jam 6.30 petang,” katanya.
Katanya lagi, mangsa juga terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/wanita-panik-kereta-terbakar-1.114412
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment