loading...
Tuesday, August 7, 2012
Viva terbalik angkara tayar pecar
BATU KURAU, Perak - Seorang anggota tentera nyaris terkorban apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki bersama isteri dan anaknya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Jambatan Sungai Ara, Jalan Pantai, Batu Kurau, semalam.
Mangsa, Fikri Husin, 36, berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku apabila salah satu tayar keretanya pecah sebelum terbabas sebaik menaiki jambatan Sungai Ara.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana memandu perlahan manakala keretanya hanya terbabas dan tersangkut di penghadang jambatan.
“Akibat kejadian itu, anak saya yang baru berusia setahun 6 bulan cedera di bahagian mulut kerana terhantuk di pintu sementara saya dan isteri, Huzaifah Halim, 35, tidak cedera.
“Ketika kejadian, kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Taiping dari Kota Baharu, Kelantan selepas menghantar adik,” katanya kepada Sinar Harian.
Fikri berkata, dia sempat membantu mengeluarkan anak dan isteri yang terpaksa merangkak keluar melalui pintu.
“Dalam keadaan cemas itu, muncul orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut, membantu kami sekeluarga.
“Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan pada Ramadan tahun ini, saya berterima kasih kepada semua yang membantu dan bersyukur masih diberi kesempatan beraya bersama sanak keluarga dan rakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya mengesahkan kejadian terbabit dan mengklasifikasikan sebagai kemalangan biasa.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan berlaku tambahan ketika musim cuti persekolahan dan perayaan yang bakal tiba.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tentera-nyaris-jatuh-tebing-1.74166
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment