loading...

Sunday, August 5, 2012

2 beranak maut angkara lembu


Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR GAJAH - Berpunca seekor lembu melintas di tengah lebuh raya, empat kenderaan terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa seorang wanita dan anaknya, awal pagi semalam.


Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi di Kilometer 213 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, apabila sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat sekeluarga terbabas selepas gagal mengelak lembu tersebut, lalu melanggar pengadang tepi jalan.

Ia menyebabkan mangsa, Ngatinah Kemin, 47, dan anak bongsu, Muhammad Habib Firdaus, 10, maut di tempat kejadian.

Sebuah lagi kereta Proton Persona dinaiki dua lelaki turut terbabas, berpusing beberapa kali, diikuti dua lagi kereta Proton Persona dan BMW, semuanya gagal mengelak lembu yang sama.

Kemalangan itu juga menyebabkan lembu itu mati di tempat kejadian. Ngatinah dikatakan dalam perjalanan ke Kluang, Johor, selepas mengambil anak keduanya, Siti Nasuha Mokhtar, 21, yang belajar di Jepun baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk sambut Aidilfitri di tanah air.

Siti Nasuha yang turut berada dalam kereta bersama bapanya yang memandu Kancil, Mokhtar Abu Bakar, 50, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kereta dinaiki keluarga berkenaan merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas sebelum terbabas dan terbalik beberapa kali.

“Akibatnya, kereta berkenaan tersangkut pada besi pengadang lebuh raya itu. Dua Proton Persona dan sebuah BMW mengalami nasib sama,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala Mokhtar patah rusuk kiri dan luka kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

“Sementara Siti Nasuha dilaporkan stabil dan ditempatkan di wad biasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, adik ipar Ngatinah, Fazilah Abu Bakar, 48, berkata, arwah kakak iparnya itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam, Johor.

“Saya dimaklumkan, ketika kejadian, Siti Nasuha sempat memangku ibunya yang tidak sedarkan diri. Jenazah Ngatinah dibawa keluar dari bilik mayat untuk dibawa pulang ke Kluang, Johor, semalam.

Ketika Siti Nasuha dan bapanya itu dihantar ke Hospital Melaka, dia masih tidak tahu ibu dan adiknya itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, kehilangan arwah juga menyebabkan hasrat mereka untuk berkumpul 10 keluarga di Alor Setar, Kedah, sempena meraikan majlis perkahwinan seorang anak saudara berkecai.

Al-Fatihah...


Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/lembu-lintas-lebuh-raya-dua-beranak-maut-1.73741

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my