loading...
Tuesday, August 7, 2012
Bertembung Lori Tempoyak
KOTA BHARU-Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan lori seberat dua tan yang penuh dengan muatan tempoyak di Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Mohd Irwan yang memandu kereta jenis Proton Wira, mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki.
Manakala Mohd Zamri Mad Noor, 31, yang memandu lori, bersama dengan dua kelindannya hanya mengalami cedera ringan.
Mohd Irwan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak di Pengkalan Chepa di sini.
“Saya tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku, kerana apabila tersedar saya sudah berada di tepi jalan. Kemungkinan ketika itu saya terlelap seketika kerana penat bekerja pada waktu malam,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur terselamat dan hanya cedera ringan dalam kemalangan itu.
“Ketika berada di luar, saya terkejut melihat keadaan kereta yang remuk. Mujurlah saya tidak mengalami kecederaan teruk kerana kemalangan itu berlaku begitu pantas” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zamri, berkata dia bertolak dari Machang kira-kira jam 7 pagi untuk menghantar bekalan tempoyak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini.
“Sebaik tiba di tempat kejadian secara tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu memasuki laluan bertentangan sebelum kereta itu kemudian merempuh hadapan lori dan berpusing beberapa kali.
“Saya hanya mampu mengelak dengan membelok ke kanan sebelum terbalik dan terseret beberapa meter,” katanya.
Beliau berkata, dia bagaimanapun bersyukur kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepadanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmat Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan kekuatan empat anggota dan sebuah jentera.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa sudah berada di tepi jalan selepas dikeluarkan dengan bantuan orang ramai,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pemandu-nyaris-maut-kereta-bertembung-lori-tempoyak-1.74131
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment