loading...
Saturday, August 11, 2012
Ops Selamat Dilancarkan
Shah Alam: Op Selamat 1, yang menggantikan Ops Sikap akan menggunakan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata selain memberi tumpuan kepada kempen keselamatan jalan raya, Op Selamat 1 yang bermula esok sehingga 26 Ogos ini akan turut meningkatkan rondaan bagi mengelak sebarang kegiatan jenayah.
Tepis tanggapan
Katanya, ia juga antara langkah proaktif polis untuk menepis tanggapan masyarakat bahawa kes pecah rumah akan meningkat setiap kali tibanya musim perayaan.
“Sebab itu kita gunakan perkataan ‘selamat’ dalam perayaan tahun ini. Kita mahu supaya mereka yang pulang ke kampung, dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu.
“Jangan fikir perkara lain yang boleh mengganggu tumpuan di jalan raya sebab polis akan pastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.
“Bagi kawalan kawasan perumahan, kita akan guna anggota sedia ada di setiap daerah kerana hanya 10 peratus saja anggota yang dibenar bercuti pada musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan ‘Op Selamat 1’ di Dataran Shah Alam di sini, semalam.
Op Selamat 1 menggantikan Ops Sikap yang sudah sinonim dengan operasi penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya sejak 25 musim perayaan lalu.
Ismail berkata, selain memaklumkan kepada balai polis berdekatan jika ingin balik kampung, orang ramai juga boleh mendaftar dengan Rakan Cop yang dilihat sebagai satu cara berkesan untuk berinteraksi dengan polis bagi menurunkan kadar jenayah.
Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/OpSelamattingkatrondaan/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment