REMBAU: “Sewaktu memandu, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat kereta di depan dirempuh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan,” kata Mohd Sabri Adun, 41, saksi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3, Jalan Taman Seri Puteri-Ulu Kanchong di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam, pemandu kedua-dua kereta itu, Mohd Nasir Ismail, 27, dan Ahmad Nasir Samad, 51, cedera parah apabila kereta Proton Iswara dan Proton Saga yang dipandu mereka bertembung.
Menurut Sabri, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Chembong dan segera memberhentikan kereta untuk membantu mangsa.
“Saya melihat pemandu kereta Proton Iswara berjaya keluar, namun pemandu kereta Proton Saga tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin. “Saya kemudian cuba membuka pintu kereta Proton Saga itu untuk menyelamatkan mangsa. namun gagal,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin.
Katanya, dia segera menghubungi bomba memaklumkan keadaan Ahmad Nasir yang tersepit, manakala isteri dan anak mangsa berjaya keluar.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohd Nasir yang menuju ke Pedas dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain, namun gagal lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Ahmad Nasir.
“Ia menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut.
“Kereta dipandu Ahmad Nasir turut dinaiki isteri dan anaknya berusia 12 tahun. Bagaimanapun, mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Nyarismautkeretabertembung/Article/index_html
No comments:
Post a Comment