loading...
Monday, March 12, 2012
Juruteknik pendingin hawa maut
IPOH - Seorang juruteknik di sebuah kilang pendingin hawa maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di kawasan perindustrian Menglembu, lewat malam kelmarin.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam semasa Cheah Chee Sheong, 19, memandu kereta jenis Proton Iswara berseorangan ke arah jalan Ipoh-Lumut.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Pusing, didapati gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Akibatnya, kenderaan yang dipandu mangsa bertembung secara berhadapan dengan sebuah bas persiaran yang sedang menghala ke arah bandar raya Ipoh. Bas tersebut membawa tiga penumpang termasuk seorang pemandu yang dipercayai mempunyai ikatan keluarga dan dalam perjalanan untuk menikmati makan malam,” katanya.
Mangsa dilaporkan maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah pada muka dan beberapa bahagian badan yang lain.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut keluarga untuk upacara pengebumian hari ini (semalam),” katanya.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian semalam mendapati berlaku kesesakan jalan raya sepanjang 200 meter di kawasan tersebut.
Orang ramai yang melalui jalan tersebut turut mengambil kesempatan melihat anggota keselamatan mengeluarkan mangsa selain merakam foto melalui telefon bimbit masing-masing.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abdul Rahman Mohd Som berkata, beliau tiba bersama enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih kira-kira jam 11.45 malam.
Katanya, anggotanya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kaki mangsa tersepit di bawah stereng kereta tersebut.
“Kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang remuk dan rosak teruk akibat kemalangan itu. Selain itu, bas terbabit turut terbabas masuk ke dalam longkang berhampiran kira-kira 50 meter daripada kereta tersebut namun penumpang serta pemandunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, operasi yang turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tamat pada jam 12.40 tengah malam.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/terbabas-50-meter-1.31423
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment