loading...
Tuesday, March 13, 2012
Datuk Seri Ajar Mangsa Mengucap
Inalillahi wainailaihi rojiun
PARIT BUNTAR: Seorang lelaki sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebelum dia meninggal dunia di sisi isterinya yang turut maut akibat kemalangan jalan raya di kilometer 5, Jalan Kuala Gula - Gunung Semanggol, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Saidon Riduan, 65, dan isterinya Fatimah Abdul Kadir, 64, cedera parah apabila Toyota Harrier dinaiki terbalik selepas berlanggar sebuah Land Rover.
Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas memancing ikan di Kuala Gula di sini, berikutan penemuan batang pancing dan ikan sepat bertaburan di belakang kenderaan.
Saksi kejadian, Azlan Che Lob, 30-an, berkata, dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda terbalik di bahu jalan.
Menurutnya, apabila sampai ke tempat kejadian, dia mendapati sepasang suami isteri berlumuran darah tersepit dalam kenderaan itu.
“Pada masa sama, Dr Zambry yang kebetulan melalui tempat kejadian berhenti dan meninjau keadaan kedua-dua mangsa.
“Saya lihat Dr Zambry mententeramkan mangsa yang ketika itu nazak. Tanpa rasa takut beliau meminta lelaki berkenaan mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.
Menurutnya, keadaan menjadi sebak apabila isteri lelaki berkenaan ketika itu sudah meninggal dunia.
“Lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan saya nampak dia sempat melihat wajah isterinya buat kali terakhir sebelum dia turut menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Zambry dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Nayan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas mengadakan perjumpaan bersama masyarakat Cina di Kuala Kurau.
Anggota Bomba dan Penyelamat yang tiba di tempat kejadian mengeluarkan mayat pasangan suami isteri itu serta pemandu Land Rover yang tersepit.
Difahamkan, Land Rover itu dipandu lelaki berusia 50-an bersama tiga wanita dan dua kanak-kanak perempuan. Semua mereka cedera dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.
Sementara itu, Zambry yang mengulas kejadian itu semalam berkata, dia amat terkejut dengan kemalangan meragut dua nyawa serentak di depan matanya.
“Saya cemas melihat mereka berlumuran darah dalam kereta yang terbalik itu. Saya tidak dapat membantu mengeluarkan mereka yang tersepit kerana bimbang lebih memudaratkan.
“Namun, saya hanya sempat meminta lelaki berkenaan bertenang dan mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir tidak lama kemudian,” katanya.
Al-Fatihah...
Sumber:
peraktoday.com/wp/?p=51334
hmetro.com.my/myMetro/articles/MBajarmengucap/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment