loading...
Wednesday, March 14, 2012
Kereta Terjun Parit Gara-gara Lembu
KAMPUNG BARU – Masalah lembu berkeliaran di sini membimbangkan penduduk kampung kerana kehadiran haiwan itu bukan sahaja merosakkan tanaman malah mengganggu lalu lintas sehingga boleh mengundang risiko kemalangan.
Dalam tempoh lima tahun ini, pelbagai masalah dilaporkan termasuk kemalangan maut dan kecederaan kepada penunggang motosikal akibat terlanggar atau mahu mengelak sekumpulan haiwan ini yang berkeliaran.
Seorang penduduk, Yunus Abd Wahid, 48, berkata, dia pernah terlibat kemalangan baru-baru ini apabila kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya berusia 15 tahun terbabas ke dalam parit berdekatan Jalan Haji Saie, di sini kerana cuba mengelak seekor lembu melintas.
“Ketika kejadian, hujan renyai dan saya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah mengambil anak pulang dari sebuah sekolah di batu 38. Entah dari mana secara tiba-tiba muncul seekor lembu melintas jalan.
“Saya cuba mengelak sehingga menyebabkan kereta terbabas masuk ke dalam parit. Syukur saya dan anak selamat dan saya hanya mengalami cedera ringan sahaja, “ katanya.
Yunus berkata, masalah lembu berkeliaran sering menimbulkan kemarahan penduduk kampung terutamanya pengguna jalan raya masih berterusan biarpun ia telah disuarakan kepada pemimpin masyarakat.
“Kita mahu masalah ini diatasi segera agar tidak timbul masalah di kemudian hari. Kita tahu lembu di sini ada tuannya tetapi yang dikesalkan apabila ditanya, tiada siapa yang mahu mengaku. Sepatutnya pemilik haiwan ini bertanggungjawab ke atas peliharaannya supaya tidak menyusahkan penduduk lain,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, Abdullah, 40, terdapat beberapa jalan yang terlibat antaranya Jalan Haji Saie, Jalan Haji Mahmud, Jalan Sekolah, jalan menuju ke Tebuk Berihun dan Tanjung Jawa.
Katanya lembu yang itu bergerak dalam bilangan besar sekitar 80 ekor ataupun kumpulan kecil antara dua atau tiga ekor.
“Kita difahamkan, masalah ini sudah diberikan perhatian oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan dan Negeri, selain mendapat perhatian Jabatan Veterinar namun masing-masing tidak mampu menyelesaikannya.
“Apa yang penduduk dan pengguna harapkan akan ada pihak yang mampu menyelesaikannya demi keselesaan dan keselamatan kami di sini,” katanya.
Difahamkan, terdapat lembu yang telah ditambat masih mengganggu lalu lintas kerana tali penambat panjang sehingga membolehkannya berkeliaran atas jalan raya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/masuk-parit-elak-lembu-1.32054
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment