loading...

Tuesday, March 13, 2012

Pantang Maut Sebelum Ajal



SEREMBAN – Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang pelajar kolej apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam gaung di Batu 7, Jalan Bukit Mantin, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, R Ganeshkumar, 24, cedera ringan selepas kereta Toyota Corolla yang dipandunya terbabas lalu terhumban ke dalam gaung.

Menceritakan detik cemas itu, Ganeshkumar yang juga pelajar jurusan Kejuru­teraan Mekanik dari Kolej Lagenda Mantin berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari rumah di Port Dickson ke asrama kolej.

Menurutnya, insiden berpunca apabila dia cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan tiba-tiba.

“Saya cuba mengelak dan menekan pedal brek namun kereta berpusing beberapa kali kerana jalan licin akibat hujan, ditambah pula kawasan itu menuruni bukit. Akibat gagal mengawal kenderaan, kereta saya terhumban ke dalam gaung sedalam 50 meter,” katanya, semalam.

Menurutnya, sejurus terhumban, dia cuba keluar dari kereta namun gagal kerana pintu tidak boleh dibuka.

“Saya keluar menggunakan pintu penumpang untuk menyelamatkan diri kerana bimbang berikutan kereta terhumban ke sebuah anak sungai. Sebaik keluar, saya lihat enjin kereta terbakar dan saya terus ke tebing sungai,” katanya.

Ganeshkumar berkata, dia cuba mendapatkan ban­tuan dengan menjerit minta tolong tetapi tidak berjaya kerana kawasan berkenaan adalah hutan, selain kejadian pada waktu malam.

“Saya beranikan diri merangkak menaiki tebing gaung dengan bercahayakan lampu telefon bimbit. Pendakian selama 30 minit dengan memaut akar pokok membolehkan saya naik ke atas tebing sebelum menghubungi rakan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, rakannya tiba memberikan bantuan dan membawanya ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk menerima rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kerana masih selamat walaupun mengalami kecederaan di dada, pinggang, tangan dan kaki," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Mantin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mazlan Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.51 malam dan sebuah jentera bersama enam anggota segera ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba, anggota kami tidak dapat mengesan lokasi kereta terhumban tersebut berikutan terdapat maklumat mengelirukan. Operasi mencari bermula dari Kampung Belihoi hingga ke kawasan gaung terpaksa dihentikan kira-kira jam 1.07 pagi,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari diteruskan keesokan harinya (semalam) kira-kira jam 8.26 pagi yang disertai enam anggota dan sebuah jentera bersama pihak polis.

“Selama enam minit usaha mencari, pihak kami menemui sebuah kereta dalam keadaan remuk di kawasan anak sungai. Bagaimanapun, mangsa tiada di tempat kejadian dan pihak kami dimaklumkan, mangsa sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawa­tan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/merangkak-selamat-diri-1.31796

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my