loading...
Friday, August 17, 2012
Tragedi Aidilfitri
Inalillahi wainailaihi rojiun
17 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Lapan maut dan 22 lagi cedera dalam tiga kemalangan berasingan di Lawas, Sarawak; Kinabatangan, Sabah dan Kuala Krai, Kelantan - tragedi yang lazimnya berlaku menjelang Aidilfitri.
Di Lawas, keriangan membeli-belah pada saat akhir menyambut lebaran buat 12 bersaudara berakhir apabila lima dari mereka maut selepas van sapu yang dinaiki terbabas di Kilometer 5, Jalan Sundar-Trusan, petang kelmarin.
Mereka yang maut dalam kejadian pada jam 5.50 petang itu, dua beranak, Maria Awang, 37, dan anaknya yang juga pelajar Politeknik Kuching, Khairulnisa Najwa Omar, 18, manakala bapanya, Omar Abdul Rahman, 40, cedera parah dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Turut meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan dada ialah pemandu van, Mohammad Tasia, 45, serta dua penumpang lain, Nurzaimah Mohd Taib, 12, dan Nurulhusnah Ezati Imra, 17.
Di Kinabatangan, perjalanan 10 jam untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bertukar tragedi dengan tiga penumpang maut, manakala tiga lagi parah apabila bas ekspres dinaiki terbabas dalam kemalangan di Kilometer 121 Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini, awal semalam.
Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, pemandu bas ekspres dari Kota Kinabalu ke Tawau itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya selepas memintas sebuah kenderaan lain sebelum berpusing beberapa kali lalu terbalik.
Kemalangan berlaku ketika cuaca hujan dan bas dilaporkan dipandu laju. Bas berkenaan bertolak dari Terminal Bas Bandaraya Utara, Inanam kira-kira jam 8 malam kelmarin dan sepatutnya tiba di Tawau jam 6 pagi.
Ia membawa 31 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Kinabalu, tujuh orang awam, seorang pemandu dan dua pembantu pemandu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Usman Sulaiman, 46, dari Kampung Sungai Tongkang, Tawau; Jabar Maidin, 54, dan Piyan Ardian Shah Osman, 23. Mayat dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.
Penumpang yang cedera parah dikenali sebagai Freddie Mandalis, 20; Beneditus Pogu, 27; dan Rahamiti Nurdin, 35, yang menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.
Sementara itu di Kuala Krai, 10 penumpang dan dua pemandu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang hampir maut apabila bas dinaiki terbabas dan berpusing tiga kali sebelum jatuh ke tepi cerun, dipercayai untuk mengelak kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi di Kilometer 119, Kota Bharu-Gua Musang, pemandu utama bas berkenaan, Raja Mohd Adli Raja Ibrahim, 38, tercampak keluar, manakala penumpang lain mengalami kecederaan pada bahagian badan, muka serta kaki, dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai.
Difahamkan bas Transnasional berkenaan disewa khas untuk membawa kakitangan awam iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu bergerak dari Kota Bharu pada jam 5.45 pagi menuju ke Gua Musang.
Al-Fatihah
Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/8mautmenjelangraya/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment