loading...
Tuesday, August 14, 2012
Lori Terbalik
RANTAU PANJANG – Gara–gara cuba mengelak sebuah kereta, lori yang membawa muatan barangan basah untuk sebuah pasaraya di Kota Bharu, terbalik melintang jalan di Kampung Kubang Siput, pagi kelmarin.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.50 pagi itu, bagaimanapun hanya menyebabkan pemandu, Yusri Tayeb, 35, dan Mazlan Mohd Nor, 52, mengalami kecederaan ringan.
Lori yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke sebuah pasaraya di Kota Bharu, rosak agak teruk pada bahagian kiri (bahagian penumpang) serta pecah cermin hadapan.
Yusri berkata, dia bersyukur selamat walaupun berdepan sedikit kecederaan akibat kejadian tersebut.
Menurutnya, dia tidak menyangka lori dipandunya akan terbalik kerana kerap menggunakan laluan itu untuk ke Kota Bharu bagi tujuan menghantar barang.
“Boleh dikatakan tiga kali seminggu saya menggunakan laluan sama untuk menghantar barangan basah ke pasaraya ini sejak bekerja sebagai pemandu di syarikat lebih sebulan lalu.
“Ketika melalui kawasan selekoh, sebuah kereta dari arah bertentangan masuk ke laluan saya, ketika cuba mengelak lori saya pandu terbalik kerana ketika itu hujan lebat, jalan licin,” katanya kepada Sinar Harian.
Yusri berkata, dia tidak tahu keadaan barangan di dalam lori berkenaan kerana dia dan kelindan berusaha menarik kenderaan itu untuk mengelak kesesakan jalan seterusnya membolehkan barangan dibawa ke destinasinya.
Sementara itu, Mazlan yang cedera pada kaki kanan dan kiri bersyukur hanya mengalami kecederaan ringan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/lori-terbalik-elak-kereta-1.76318
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment