15 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertugas sepanjang Ops Selamat, termasuk memantau 150 lokasi yang sering berlaku kemalangan atau dikenali sebagai ‘black spot’ di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan kehadiran polis menerusi konsep ronda dan statik di lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh dua minggu operasi dijalankan.
“Konsep berkenaan membabitkan pendekatan menggunakan kanopi di kawasan Rawat dan Rehat ( R&R) dan hentian sebelah lebuh raya sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan lain-lain agensi berkaitan seperti JPJ dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Pada masa sama, kanopi di kawasan berkenaan juga dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah ketika dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat di Shah Alam.
Menurutnya, objektif utama Op Selamat siri pertama yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ adalah untuk memberi kesedaran serta menanam nilai murni kepada pengguna jalan raya, supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika memandu, di samping meninggalkan rumah dalam keadaan selamat apabila pulang ke kampung halaman masing-masing. Katanya, bagi kawalan di kawasan perumahan, PDRM menggunakan kekuatan sedia ada di setiap daerah kerana hanya 10 peratus anggota dan pegawai dibenar bercuti pada Aidilfitri kali ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan pula berkata, pihaknya meneruskan taktik menyamar sebagai penumpang bagi memastikan pemandu bas ekspres tidak melakukan kesalahan yang membahayakan nyawa sepanjang tempoh berlangsungnya Op Selamat.
Menurutnya, jika PDRM mempunyai 150 ‘black spot’ untuk dipantau, JPJ pula mempunyai 89 lokasi kemalangan bas di seluruh negara yang dikenal pasti.
“Sepanjang tempoh Op Selamat kali ini, 1,800 anggota dan pegawai ditugaskan di lokasi strategik, sekiranya pemandu melakukan kesalahan, kami terus ‘datang’ kepada mereka, kerana melalui cara ini, pemandu lebih beringat dan berhati-hati sewaktu musim perayaan. “Anggota dan pegawai JPJ juga ditempatkan di 32 terminal bas di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan terhadap brek dan tayar, jika dua perkara itu tidak menepati piawai, syarikat bas perlu menggantikannya sebelum dibenarkan memulakan perjalanan,” katanya.
Sepanjang tempoh dua minggu operasi dijalankan yang bermula Ahad lalu, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Op Selamat 1800 88 1412 yang beroperasi 24 jam untuk melaporkan sebarang kesesakan trafik, kemalangan jalan raya, mendapatkan sebarang bantuan dan laporan trafik serta melaporkan sebarang kejadian jenayah terutama pecah rumah.
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/150lokasimaut/Article/index_html
No comments:
Post a Comment