loading...

Sunday, August 12, 2012

Parah Rempuh Treler


ALOR GAJAH - Seorang pengusaha syarikat pelancongan cedera parah selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 221 Lebuhraya Utara - Selatan, berdekatan susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa, Ahmad Norman Hafiz Jannet Hussain, 35, seorang warga Pakistan dari Kuala Lumpur, menuju ke Tampin untuk menjemput tunangnya.

Kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang treler yang membawa muatan makanan ayam untuk dihantar ke Kluang, Johor.

Difahamkan, treler terbabit berada di laluan tengah ketika mangsa cuba memotongnya.

Akibat kemalangan itu, Ahmad Norman Hafiz patah kaki dan tangan kanan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2, Chee Hong Chuan berkata, dua jentera membabitkan enam anggota Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Rembau bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima maklumat awam.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati masih lagi tersepit di tempat duduk pemandu. Bagaimanapun, anggota bomba mengambil masa kurang 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang parah di kaki dan tangannya," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, tunang mangsa, Zuraidah Jamaludin, 24, berkata, dia bimbang apabila cuba menghubungi Ahmad Norman Hafiz, namun tidak berjawab.

“Kemudian saya dihubungi seseorang yang mengatakan tunang saya terbabit kemalangan di lebuhraya. Fikiran saya bercelaru memikirkan keadaannya selepas mendapat tahu kereta dipandu remuk dan melekat di belakang treler. Namun, syukur kerana dia selamat," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Alor Gajah, semalam.

Zuraidah dan Ahmad Norman Hafiz dijadualkan akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tragedi-ketika-jemput-tunang-1.75967


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my