loading...

Friday, August 17, 2012

Bas Ekspres Terbabas Dalam Gaung



17 Ogos 2012 
GUA MUSANG - Lapan kakitangan awam dan dua pemandu bas ekspres nyaris maut apabila bas dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam gaung di Kilometer 57, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Sungai Lakit, di sini, awal pagi semalam.


Kejadian kira-kira 7.30 pagi itu membabitkan sebuah bas yang disewa khas bagi membawa kakitangan awam sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang.

Nahas menyebabkan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, Mohd Suhaimi Abdullah, 54, patah paha kiri manakala pemandu pertama, Raja Mohd Adli Raja Ibrahim, 37, cedera di belakang badan selepas tercampak keluar.

Pemandu kedua dan lima kakitangan awam dari beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Gua Musang bagaimana pun hanya cedera ringan.

Raja Mohd Adli ketika ditemui di Hospital Kuala Krai berkata, kejadian berlaku apabila dia gagal mengawal bas itu selepas cuba mengelak sebuah Toyota Hilux yang memotong dari arah bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta di belakang bas juga cuba memotong. Saya terkejut, jadi cuba elak dan jatuh ke kaki lima jalan sebelum bas berpusing lalu terbalik dan menggelongsor ke dalam gaung,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, kejadian menyebabkan bahagian belakangnya sakit selepas tercampak keluar dari bas dan terpaksa dibantu orang ramai kerana tidak boleh bangun.

“Saya tidak tahu tercampak keluar ikut mana, sedar-sedar saya sudah ada di luar dan terbaring rapat dengan bas,” katanya yang memandu bas sewa khas itu sejak lapan tahun lalu.

Raja Mohd Adli berkata, dia bersyukur kerana kemalangan berlaku ketika bas tidak penuh kerana ramai kakitangan awam terutama guru yang menggunakan khidmat bas sewa khas itu bercuti.

“Saya bersyukur penumpang tidak ramai. Selalunya penuh 40 penumpang tetapi hari ini (semalam) ramai terutama guru sudah ambil cuti raya. Kalau tidak, keadaan mungkin lebih buruk,” katanya.

Mohd Suhaimi pula berkata, paha kirinya patah selepas terhantuk pada kerusi ketika bas terhumban ke dalam gaung dan bahagian belakang kenderaan itu menggelongsor ke bawah.

“Masa bas terbalik, saya terjatuh dari kerusi dan semua penumpang tercampak ke kerusi belakang kerana belakang bas dulu menggelongsor ke bawah.

“Nak buat macam mana, nampaknya Aidilfitri kali ini saya terpaksa berhari raya di hospital,” katanya yang berulang alik ke tempat kerja di Gua Musang dengan bas sewa khas itu sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, nahas dipercayai berlaku ketika lapan penumpang termasuk seorang wanita sedang nyenyak tidur selepas berlepas dari ibu negeri ini kira-kira jam 6 pagi.

Katanya, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan bas itu hilang kawalan hingga menyebabkannya terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung.

“Kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan kerosakan teruk dan hanya dua orang sahaja mengalami kecederaan. Seorang patah paha manakala pemandu cedera di belakang.

“Kita masih menjalankan siasatan dan akan merekodkan kenyataan pemandu serta penumpang selepas ini. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bas-masuk-dalam-gaung-1.77365


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my