loading...

Tuesday, December 20, 2011

Tiga Beranak Maut Bertembung Van


SAMARAHAN: Kegembiraan sepasang suami isteri menghadiri jamuan anak lelaki mereka yang baru berkahwin, tidak berpanjangan apabila mereka terbunuh bersama anak perempuan dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 24, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Lass Well, 50, dan isterinya, Kucing Laman, 58, serta anak bongsu mereka, Idea, 19, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Perodua Viva dinaiki bertembung sebuah van.


Dua lagi ahli keluarga malang berkenaan iaitu anak lelaki mangsa, Peter, 34, dan isterinya, Catherine Andau, 24, yang hamil tiga bulan parah dalam kejadian itu.

Difahamkan, lima beranak itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Selamgan Bajong di Sebuyau selepas menghadiri jamuan yang diadakan anak lelaki ketiga pasangan terbabit berusia 30-an di Serian.


Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila sebuah van dari arah bertentangan terbabas lalu bertembung kereta dipandu Peter.


“Pemandu van berkenaan yang dalam perjalanan ke Asajaya gagal mengawal kenderaannya berikutan keadaan jalan licin akibat hujan lebat sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa,” katanya.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan tiga beranak yang duduk di bahagian belakang kereta itu maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang di hadapan cedera parah.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, pemandu van bersama penumpang wanita di tempat duduk hadapan kenderaan terbabit cedera parah, manakala lapan penumpang lain cedera ringan.


Sementara itu, menurut seorang saudara mangsa yang enggan dikenali, Peter dan isterinya yang sedang dirawat dilaporkan dalam keadaan stabil dan kandungan wanita terbabit selamat.


“Kami amat sedih atas kehilangan tiga saudara kami terutama Idea yang baru tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya sambil memberitahu jenazah mangsa akan dikebumikan di Kampung Ketimbong di Sebuyau hari ini.

Sumber: hmetro.com.my/myMetro/articles/3beranakterbunuh/Article/index_html
              thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/12/20/sarawak/10127810&sec=sarawak

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my