loading...
Friday, December 23, 2011
Terhumban ke dalam longkang tepi jalan
SALAK BARU – Gara-gara jalan licin, sebuah kereta jenis Produa Viva yang dipandu oleh seorang remaja tercampak ke dalam longkang besar di sebuah selekoh berhampiran Taman Delima, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan berhampiran mendakwa lokasi berkenaan sering berlaku kemalangan disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan jalan raya dan kecuaian pemandu.
Mangsa kemalangan, Khairul Anuar, 22, berkata, kejadian berlaku dalam sekelip mata sahaja dan tiba-tiba sahaja dia terhumban ke dalam longkang besar di tepi jalan.
Menurutnya, walaupun keadaan keretanya mengalami kerosakan agak teruk tetapi dia masih bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang dan ketika itu cuaca hujan menyebabkan jalan licin serta kereta dipandu hilang kawalan.
“Selepas itu kereta dipandu terus terhumban masuk ke dalam longkang besar dan saya tidak dapat berbuat apa-apa.
“Sewaktu kejadian saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Sungai Siput ke rumah di Karai dan memang sering menggunakan jalan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Sungai Siput, Superitendan Azman Salim mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dan dua lagi kes kemalangan dilaporkan berlaku di Jalan Datuk Shee Koon Lim.
Jelasnya, berdasarkan laporan, kemalangan melibatkan remaja berkenaan berlaku disebabkan mangsa terlanggar lopak air dan terbabas sendiri.
“Dalam masa lebih kurang setengah jam dua kes melibatkan sebuah kereta tiba-tiba berasap dipercayai enjin rosak,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan dan berlaku kira-kira jam 4.30 petang.
“Manakala satu lagi kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan seorang lelaki warga Myanmar berusia 20-an yang menunggang basikal.
”Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan cuba menyeberang jalan dan dilanggar sebuah kereta yang kebetulan melalui jalan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kaki serta luka di bahagian tangan,” katanya.
Sumber: sinarharian.com.my/edisi/perak/terhumban-dalam-longkang-1.14304
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment