loading...
Friday, December 23, 2011
Tak sempat menunaikan solat Jumaat
Inalillahi wainailaihi rojiun
KUALA KEDAH - Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan solat Jumaat tidak kesampaian apabila maut ketika dalam perjalanan bersama anak bongsunya tengah hari semalam.
Mangsa, Manaf Hashim, 75, dari Kampung Tok Pasai dikatakan membonceng motosikal bersama anak lelakinya yang baru mendapat keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelmarin, cuba menyeberang jalan dari simpang Taman Bersatu untuk ke masjid berdekatan.
Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal apabila motosikalnya dirempuh sebuah van yang datang dari arah bertentangan,
Mangsa meninggal di tempat kejadian manakala anaknya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.
Pemandu van yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.10 petang.
“Semasa kejadian itu, saya sedang dalam perjalanan dari arah Yan menuju ke Kuala Kedah untuk mengambil barang sebelum menunaikan solat Jumaat.
“Saya nampak dari jauh (dalam jarak dua tiang elektrik) mangsa berada di simpang dan dilihat cuba menyeberang jalan. Saya sempat membunyikan hon untuk memberi amaran namun mereka tetap melintas jalan,” katanya.
Menurutnya, beliau terkejut dengan tindakan mangsa dan cuba menekan brek serta mengubah ke laluan sebelah kanan namun gagal untuk mengelak dari merempuh motosikal itu.
Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi daripada isteri mangsa di bilik mayat HSB tetapi tidak berjaya kerana masih bersedih dengan kejadian itu.
Namun beliau mengakui mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sewaktu keluar dari rumah.
Menurut waris terdekat, mangsa meninggalkan seorang isteri serta dua anak berusia 18 dan 15 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Azaman Mohd Jan mengesahkan kejadian berkenaan.
Sumber: sinarharian.com.my/edisi/utara/tak-sempat-tunai-solat-jumaat-1.14359
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment