loading...

Tuesday, December 20, 2011

Bas Ekspres Terbalik Warga Brunei Maut


TUARAN: Dua penumpang bas ekspres warga Brunei, seorang lelaki dan seorang wanita, maut dalam kemalangan jalan raya dekat sini petang ini, menurut Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Zaharuddin Rasip.



Beliau berkata mangsa lelaki itu berusia 50 tahun dan seorang wanita itu berumur dalam lingkungan 50-an, maut akibat terhimpit dalam kemalangan itu yang berlaku pada kira-kira jam 3.05 petang.

Kemalangan itu berlaku apabila pemandu bas yang dinaiki itu, dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam lalu melanggari sebatang pokok besar di KM8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan.

Bas ekspres itu yang membawa 40 warga Brunei yang kini sedang melancong ke Sabah dari Jumaat lalu sehingga esok, dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.


Setakat ini seramai 11 orang cedera akibat kemalangan itu dan mereka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk menerima rawatan.


Nama mangsa yang maut belum diketahui dan 21 orang penumpang lain termasuk pemandu bas itu tidak mendapat sebarang kecederaan. - Bernama

  NGERI...keadaan bas pelancong dari Brunei yang hilang kawalan dan 
terbalik sebelum merempuh pokok, semalam. Gambar kecil, Abd Manan.

Dari myMetro, “Saya terhidu bau hangit seperti getah terbakar ketika bas menuruni bukit beberapa detik sebelum kemalangan,” kata Mohd Nazirul Mubin, 21, penumpang bas yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan enam pelancong warga Brunei.

Kejadian pada jam 3 petang di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli itu mengakibatkan bas terbabit yang dinaiki 33 penumpang menggelongsor di atas jalan sebelum merempuh dan ‘melekat’ di sebatang pokok hingga sebahagian besar bumbung kenderaan terkopak.

Wartawan Harian Metro yang tiba di tempat kejadian mendapati keadaan amat menyayat hati apabila mangsa yang terbunuh dan parah bergelimpangan, selain suara mengerang kesakitan jelas kedengaran.

Mohd Nazirul berkata, sebelum kemalangan bas yang membawa 22 penumpang perempuan dan 11 lelaki itu cuba memintas tiga kenderaan termasuk dua lori.


“Bagaimanapun, bas secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbalik lalu menggelongsor dan merempuh pokok,” katanya sambil memaklumkan penumpang bas adalah anggota rombongan kumpulan Muslimah Kampung Mulaut, Brunei.



6 Terbunuh Dalam Kemalangan

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat serta orang ramai membantu mangsa yang cedera apabila sebuah bas pelancong dari Brunei hilang kawalan lalu terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan, Tamparuli,



Inalillahi wainailaihi rojiun

TUARAN: Enam terbunuh manakala 20 penumpang parah apabila bas sewa khas dari Brunei yang dinaiki terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan dekat sini, petang semalam.

Bas yang membawa rombongan 31 pelancong kumpulan muslimah Kampong Mulaut itu dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu sebelum dijadual pulang ke Brunei, Jumaat ini.
Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, mangsa yang meninggal dikenal pasti sebagai Abd Manan Ishak, 50; Pengiran Zahamah Pengiran Zainal, 61; Dayang Norhayati Abd Hadi, 61; Faridah, 60; dan Sapawi, 60.
Identiti seorang lagi mangsa wanita yang maut belum dapat dipastikan setakat jam 9 malam tadi.

Dua mangsa meninggal di tempat kejadian, seorang dalam perjalanan ke Hospital Tuaran manakala tiga lagi di hospital.

Mereka yang cedera parah termasuk pemandu bas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada masalah brek yang menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan.
"Setakat jam 9 malam ini (tadi), kita mengesahkan enam penumpang terbunuh, 18 cedera parah dan sembilan yang lain cedera ringan berikutan kemalangan itu.

"Rombongan 31 pelancong yang turut disertai beberapa kanak-kanak itu merangkumi sembilan lelaki dan 22 wanita serta dua pemandu, semuanya warga Brunei," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di QEH di sini, malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Brunei di Sabah, Daud Tahir.

Tan berkata, Polis Sabah akan membantu urusan penghantaran pulang jenazah ke Brunei selepas selesai bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharudin Rasip, ketika mengesahkan kejadian berkata, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit, menyebabkan ia jatuh mengiring lalu terseret sejauh kira-kira 30 meter sebelum merempuh pokok.

"Rempuhan kuat menyebabkan sebahagian bumbung bas itu tercabut," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tinjauan Berita Harian di lokasi antara lain menyaksikan penumpang bergelimpangan terbaring sambil meraung kesakitan di atas jalan dan dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Selain anggota polis, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Lintas serta Kota Kinabalu menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit, di samping memberi bantuan kecemasan.

Al-Fatihah...


Sumber:  hmetro.com.my/myMetro/articles/2wargaBruneimautdalamkemalanganjalanraya/Article/index_html
               nst.com.my/latest/six-dead-after-bus-with-40-bruneians-crashes-in-sabah-1.21894
              bharian.com.my/bharian/articles/EnampelancongBruneimautbasterbalik/Article/index_html
              theborneopost.com/2011/12/21/six-brunei-tourists-killed/



Angka kematian meningkat kepada tujuh


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Disember 2011; KOTA KINABALU: Seorang lagi penumpang bas dari Brunei yang terlibat dalam kemalangan di Sabah semalam disahkan meninggal dunia, menjadikan angka kematian dalam tragedi itu kepada tujuh orang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang hari ini berkata penumpang itu, ketua rombongan Awang Tarsad Damit, 58, meninggal dunia pada kira-kira 12.15 pagi di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Dua penumpang maut di tempat kejadian dalam kemalangan di KM8.9, Jalan Ranau-Tamparuli di Tuaran dan empat lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuaran.

Tan berkata jenazah semua mangsa akan diterbangkan ke Brunei hari ini bersama-sama dengan 13 lagi yang terselamat dalam nahas itu.


"Sebanyak 13 lagi yang kini berada dalam keadaan kritikal dan separa kritikal akan terus dirawat di Hospital Queen Elizabeth," katanya kepada pemberita.


Tan juga berkata sebuah pesawat komersil dihantar oleh kerajaan Brunei untuk membawa pulang mereka yang terselamat dan yang meninggal dunia.

Beliau berkata pesawat itu tiba kira-kira 1 pagi dan dijangka berlepas pada tengah hari ini.

Tan mengesahkan identiti tiga yang meninggal dunia dan tidak dapat dikenal pasti semalam sebagai Hasnah Yusof, 62, Noor Faridah Husin, 62, dan Abdul Ghani Muhamad, 66.

Tiga lagi ialah Abdul Manan Ishak, 50, Pangiran Zaharah Pengiran Zainal, 61, dan Dayang Norhayati Abd Hadi, 61.

Beliau juga berkata bas yang didaftar di Brunei itu membawa 33 orang termasuk dua kanak-kanak berumur tujuh dan sembilan tahun dan penumpang paling tua berumur 78 tahun.

"Mereka terdiri daripada 32 warga Brunei dan seorang warga India, pembantu pemandu berusia 26 tahun. Mereka berada di Sabah untuk bercuti. Pemandunya yang berumur 38 tahun dan pembantu pemandu itu turut cedera parah," katanya.

Bas berkenaan hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam dan merempuh sebatang pokok di KM8.9, Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan di Tuaran pada kira-kira 3.05 petang semasa dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu dari Tawau.

Tan berkata bas itu akan dihantar ke Puspakom Sdn Bhd untuk pemeriksaan. - Bernama
Al-Fatihah...

Sumber: hmetro.com.my/myMetro/articles/Nahasbas_Angkakematianmeningkatkepadatujuh/Article/index_html




Kerajaan Sabah ucap takziah kepada Brunei


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Brunei khususnya kepada keluarga dan waris semua mangsa yang terbabit dalam nahas bas ekspres di negeri itu semalam.

"Kita berasa amat sedih dan bersimpati dengan tragedi ini. Saya berharap mereka bersabar dan tabah menghadapi keadaan ini. Juga didoakan mangsa yang cedera dan masih menerima rawatan akan segera pulih.

"Sama-sama kita berdoa untuk mereka yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin," kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataan di sini.

Dalam kemalangan pada 3.05 petang semalam, bas yang membawa pelancong Brunei dari Tawau ke Kota Kinabalu dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam sebelum melanggar sebatang pokok besar di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan di Tuaran.

Tujuh rakyat Brunei berumur antara 50 dan 66 tahun terbunuh.

Musa berkata kerajaan negeri sedia menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Beliau juga berkata jabatan dan agensi kerajaan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Musa turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada jabatan dan agensi berkaitan serta semua pihak yang menghulurkan bantuan dalam semua aspek ketika kemalangan itu berlaku.

Sumber: bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=635587

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my