loading...

Wednesday, August 24, 2011

PM: Pemanduan berhemah amalan murni

Elak jalan raya jadi lautan pusara - PM

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih cermat dan bertanggungjawab semasa musim perayaan ini bagi mengelakkan jalan raya menjadi lautan pusara yang tidak bertanda.

Perdana Menteri berkata, pemanduan yang teliti dalam keadaan bersedia fizikal dan mental dapat mengurangkan risiko kemalangan yang sering mengundang tragedi pada musim-musim perayaan seperti Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

"Saya secara peribadi amat prihatin serta sedih dengan kes-kes kemalangan terutama apabila ia turut mengorbankan nyawa dan mengakibatkan kesengsaraan kepada keluarga mangsa.

"Apabila kita bercakap mengenai keselamatan jalan raya, ia berkait rapat dengan kemalangan. Walaupun satu tragedi saya percaya ia dapat dikurangkan jika para pemandu menitikberatkan aspek-aspek keselamatan dan ciri-ciri pemanduan berhemah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video program khas Mesej Daripada Perdana Menteri sempena Hari raya Aidilfitri 2011 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Mesej tersebut dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut ditonton Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor serta para mahasiswa universiti tersebut.

Dalam rakaman video tersebut, Najib berpesan kepada para pemandu yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing agar memandu dengan penuh berhemah serta menjaga perilaku dengan tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba.

Ini kerana, kata beliau, kelalaian dan kecuaian walaupun sesaat bukan sahaja mampu mengundang tragedi tetapi mendatangkan kesesalan sepanjang hayat.

"Dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai, ingatlah bahawa kelalaian kita boleh mengundang tragedi.

"Hindari keinginan mahu berlumba-lumba dan kawal perilaku ketika di jalan raya kerana ia dapat mengelakkan jalan raya menjadi lautan pusara yang tidak bertanda," katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya, kerajaan membelanjakan RM15.6 juta tahun lalu bagi kerja-kerja pembaikan di 37 lokasi kemalangan maut di jalan Persekutuan di seluruh negara.

Menurut beliau, selepas kerja-kerja pemulihan jalan dilakukan, tiada kemalangan dicatatkan di kesemua lokasi terbabit sehingga Jun lalu berbanding 395 kemalangan pada tempoh yang sama pada 2009.
Pada sidang video empat minit itu, beliau turut menyampaikan serangkap pantun berbunyi:

"1Malaysia teguh berpadu
kekal bersatu dalam harmoni
ingatan buat para pemandu
pemanduan berhemah amalan murni."

Sementara itu pada sidang akhbar selepas itu, Ismail Sabri memberitahu, klip video tersebut akan diedarkan kepada orang ramai dan ditayangkan di tempat-tempat umum sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu katanya, sebanyak 200,000 kad ucapan Hari Raya Perdana Menteri akan turut diedarkan kepada orang ramai di plaza-plaza tol, pusat beli-belah serta rakan korporat yang mengambil bahagian bermula hari ini.

"Kita berharap agar pengguna jalan raya mengambil perhatian terhadap mesej peribadi Perdana Menteri itu agar kita dapat kesedaran dan seterusnya lebih bertoleransi di jalan-jalan raya sekali gus mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa pada musim perayaan ini," katanya.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my