loading...

Monday, August 22, 2011

Penunggang Kuda Maut Terhumban ke Longkang

IPOH – Malang tidak berbau bagi seorang penunggang kuda lumba (joki) apabila maut selepas kereta jenis Iswara yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang dipenuhi air berhampiran loji kumbahan Medan Ipoh Jaya semalam.



Lim Cheng Woei, 27, terbunuh serta merta di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.

Salah seorang saksi, N Nadarajah, 47, berkata beliau melihat kesan tayar berhampiran kawasan kejadian sewaktu mengutip bahan buangan untuk dihantar kepada pusat kitar semula.



Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Fair Park memberitahu selepas berjalan mengikuti kesan tayar itu beliau terkejut apabila melihat sebuah kereta yang terbalik di dalam longkang.

“Pada mulanya saya menyangka hanya kereta tetapi selepas pergi berhampiran saya ternampak tubuh manusia yang sudah kaku di bahagian tempat duduk pemandu.

“Saya segera menelefon polis untuk memaklumkan perkara itu,” katanya yang baru pertama kali berhadapan dengan situasi terbabit.


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata mangsa yang memandu kereta dari arah Medan Ipoh Satu menuju ke Medan Ipoh.

“Bagaimanapun, apabila tiba di satu selekoh mangsa hilang kawalan lalu kenderaan yang dipandunya terbabas lalu masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sementara itu, Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi.

Katanya, sebuah jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
              mysarawak.org
              Thestar
              Berita Harian



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my