loading...

Wednesday, August 24, 2011

Laporkan Kesalahan Pemandu Bas

Strategi baru elak kemalangan maut

MELAKA 23 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan memperkenalkan beberapa strategi baru dalam Operasi Musim Perayaan Aidilfitri selama sebulan bermula 14 Ogos sehingga 14 September ini.

Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, strategi yang dirancang dalam operasi tersebut bertujuan melahirkan pemandu berhemah selain mengelak daripada berlaku lebih banyak kemalangan maut sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, antara strategi yang telah dilakukan sejak 5 hingga 12 Ogos lalu ialah dengan mengadakan pemeriksaan 49 buah bas ekspres di depoh-depoh dan bukannya di terminal Melaka Sentral.
"Selain itu, kakitangan JPJ akan terus menyamar sebagai pengguna bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas sepanjang pemanduan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan bas ekspres di Melaka Sentral, di sini semalam. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadhil berkata, pihaknya juga melakukan pemeriksaan lebih agresif ke atas bas ekspres seperti memeriksa tayar, brek, buku log kenderaan dan menjalankan ujian air kencing.

Menurutnya, penumpang boleh membantu JPJ dengan mengambil gambar melalui telefon bimbit, jika melihat mana-mana pemandu bas ekspres yang memandu secara bahaya.

''Mereka boleh melaporkannya kepada bahagian penguatkuasaan JPJ melalui e-mel jaafar.yaakob@jpj.gov.my atau srahmat@jpj.gov.my," katanya.

Beliau berkata, JPJ membuka bilik kawalan negeri yang beroperasi 24 jam bagi memastikan semua maklumat dan aduan orang ramai dapat disalurkan melalui talian 06-2328625.

Sementara itu, Mohd. Fadhil berkata, JPJ akan mengurangkan sekatan jalan raya yang boleh menyebabkan kesesakan, tetapi rondaan pasukan penguat kuasa di lokasi-lokasi tertentu akan diadakan lebih kerap.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my