PADANG LUAS - Dua maut, manakala dua lagi parah dan seorang cedera ringan dalam satu kemalangan ngeri melibatkan dua kereta di Kilometer 26, Jalan Temerloh-Bahau, dekat sini, petang kelmarin.
Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Rafieh Haron, 52, yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa secara bersendirian, manakala Salmiah Ahmad, 59; Md Ferdaus Muhtar, 36; Norfazilah Abdullah, 24 dan Muhtar Lateh, 64, masing-masing menaiki kereta Proton Iswara.
Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, mangsa, Rafieh dan Salmiah meninggal di tempat kejadian.
“Kedua-dua mangsa ini meninggal berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain pendarahan teruk di bahagian anggota badan yang lain.
“Sementara itu, dua lagi mangsa, Md Ferdaus cedera parah di bahagian kepala dan perut selain patah kaki kanan, manakala bapanya, Muhtar pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zahid berkata, seorang lagi mangsa, Norfazilah hanya mengalami luka di bahagian kaki namun pengsan semasa kejadian itu.
Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Md Ferdaus berjaya dikeluarkan dari kereta kira-kira jam 1.44 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Luas untuk rawatan susulan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya.
Mohd Zahid berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Md Ferdaus dari arah Temerloh dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kereta Perodua Kelisa.
Katanya, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment