Sadis, Ngeri Asas Iktibar dan Pengajaran

Monday, August 22, 2011

Konvoi Terakhir Bersama Kelab Johor Bikers


 Al-Fatihah,,,

KULAIJAYA – “Saya tidak sangka tahlil yang sama-sama kami baca di rumah penerima sumbangan tengah hari tadi (semalam) merupakan bacaan terakhir dari arwah,” kata peserta konvoi, Mohd Ali Ahmad, 37.

Malang tidak berbau apabila salah seorang peserta konvoi Kelab Johor Bikers maut setelah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengagihkan sumbangan kepada mangsa sula, di Bandar Tenggara, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa, Mohd Nizam Rohani, 35, bertembung dengan Proton Wira di Jalan Sengkang-Felda Inas arah Kulaijaya, kira-kira 1 kilometer dari laluan kereta api Sengkang.

Mohd Ali berkata, ketika kejadian, pasukan konvoi Kelab Johor Bikers yang disertai sepuluh penunggang sedang dalam perjalanan ke Rumah Anak-anak Yatim Bukit Cagar untuk mengagih sumbangan seterusnya selepas selesai menziarahi mangsa sula, Mohd Shah Abdul Razak, 23.

“Saya amat terkejut dengan kejadian yang berlaku sehingga meragut nyawa arwah... yang paling sedih adalah apabila arwah sempat menyertai kami membacakan doa tahlil untuk bapa Mohd Shah yang telah meninggal dunia.

“Sepanjang aktiviti kami berkonvoi ini arwah langsung tidak menunjukkan tanda-tanda atau kelakuan pelik,” katanya.

Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau berada di kedudukan belakang dan ternampak mangsa membuat brek kecemasan menyebabkannya terlanggar seorang peserta konvoi sebelum mangsa dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa terjatuh dari motosikal dan termasuk ke bawah kereta berkenaan manakala seorang lagi peserta konvoi terjatuh ke arah bahu jalan.

“Peserta konvoi yang terjatuh mengalami kecederaan di bahagian bahu dan kini menerima rawatan di hospital pakar swasta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa memotong sebuah lori lalu bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Mangsa yang meninggal dunia berasal dari Taman Cahaya, Pontian manakala pemandu kenderaan yang bertembung dengan mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount