loading...

Monday, November 21, 2011

Tiga Kenderaan Tiga Maut Termasuk Bayi


KUANTAN 21 Nov. – Tiga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 3 Jalan Raub-Bukit Koman, berdekatan Wisma Persekutuan Raub, semalam.

Kejadian pukul 5.35 petang itu melibatkan sebuah Proton Wira dinaiki empat beranak, sebuah Proton Iswara serta sebuah motosikal Modenas Kriss.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan Proton Wira, Lai Chew Peng, 29, bersama anaknya, Koh Xiang Xun, 1, dari Kampung Muhibbah, Raub. Turut terbunuh pemandu Proton Iswara, Choo Kien Keong, 32.

Suami Chew Peng, Koh Kok Keong, 34, dan seorang lagi anak mereka, Koh Liang An, 4, cedera parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Raub.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, siasatan mendapati Proton Wira dipandu Kok Keong dan penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Raub menuju ke Bukit Koman.

“Setibanya di tempat kejadian, dipercayai kereta Kien Keong yang berasal dari Taman Bukit Koman telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Wira itu.

“Proton Iswara itu berpusing beberapa kali dan pada masa sama penunggang motosikal, Fong Lee Feng, 30, gagal mengelak lalu merempuh kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Kien Keong yang parah maut di lokasi kejadian, manakala Chew Peng dan Xiang Xun mati semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Raub.

Tambah beliau, Lee Feng mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk membantu siasatan.

Sumber: Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my