loading...

Sunday, November 20, 2011

Pemandu Mabuk Rempuh Ibu Mengandung

Tarikh : November 16, 2011

LABUAN - Nahas jalan raya berpunca daripada tabiat memandu dalam keadaan mabuk semakin meningkat di pulau ini dengan kes terbaru Ahad lepas mengakibatkan seorang ibu muda kehilangan kandungan apabila dirempuh sebuah kereta di bahu jalan di Kampung Layang-Layangan di sini.

Polis berkata Jennive Natalia Gerin Muhammad, 19, yang sarat mengandung lapan bulan bersama empat saudaranya berjalan kaki menuju ke kedai runcit di Jalan OKK Daud kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu apabila dilanggar sebuah kereta Proton Saga, dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkohol.

Timbalan Penguasa Polis Lim Nee Koon berkata seorang lagi mangsa adalah seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang patah tangan kanan manakala tiga lagi berusia 35, 14 dan 10 tahun mengalami cedera ringan.

"Yang menyayat hati, ibu muda yang kehilangan bayinya terpaksa dirawat di Kota Kinabalu untuk mengeluarkan bayi yang dikandungnya," kata Lim.

Katanya pemandu mabuk berumur 22 tahun itu kini direman dan sedang disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM10 ribu.
   
Menurut Lim, polis akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan undang-undang jalan raya seperti Ops Mabuk, berikutan banyak kemalangan berlaku membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Rabu lepas, satu kemalangan akibat memandu dalam keadaan mabuk juga berlaku di mana penunggang motosikal berusia 64 tahun dan anak lelakinya yang membonceng mengalami kecederaan akibat dirempuh dari belakang kira-kira pukul 9.15 malam.

"Setakat ini 33 individu telah dihadapkan ke mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my