loading...

Wednesday, November 23, 2011

Jururawat Maut Digilis Treler

 
IPOH – Seorang jururawat maut selepas motosikal yang ditunggang bersama suaminya digilis sebuah treler di persimpangan Jalan Raja Musa Aziz, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi, mangsa, Liew Suet Foong, 50, yang membonceng motosikal bersama suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan dari rumahnya di Silibin ke tempat kerja di sebuah klinik swasta, di Jalan Raja Ekram.

Pemandu treler berkenaan dipercayai tidak menyedari motosikal pasangan berkenaan di bahagian kiri jalan ketika membelok masuk dari Jalan Tun Abdul Razak selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

“Motosikal yang dinaiki pasangan itu dikatakan bergesel dengan tayar treler menyebabkan wanita tersebut jatuh sebelum dilanggar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. Suami mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, pemandu treler berusia 46 tahun itu kini ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

“Polis meminta saksi yang berada berhampiran atau menyaksikan kejadian itu supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my