loading...

Saturday, November 26, 2011

Doktor Pelatih Maut Rempuh Pokok


KOTA KINABALU: Hasrat seorang doktor pelatih muda mahu berbakti kepada masyarakat di negeri ini selepas ditukarkan dari sebuah hospital di Selangor, tidak kesampaian apabila maut selepas kenderaan dipandunya merempuh sebatang pokok dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa, Dr Cheng Siew Kuan, 26, yang bertugas di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas, mati di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Mangsa yang menetap di Taman Cendawan Batu, Jalan Penampang, dalam perjalanan menuju hospital berkenaan untuk bertugas.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dan merempuh pokok.

Pengguna jalan raya yang menyedari kemalangan itu menghubungi bomba sebelum mangsa dikeluarkan.

Mayat Cheng dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa yang tiba dari bulatan Yayasan Sabah dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pokok di pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa cedera serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati tiada kesan brek atau perlanggaran dengan kenderaan lain.

“Polis masih menyiasat sama ada kemalangan ini berpunca akibat kecuaian, mengantuk atau masalah teknikal lain.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, rakan setugas mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa berasal dari Selangor dan bertugas di Bahagian Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan sejak awal Januari lalu

Sumber: myMetro
             The Borneo Post

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my