loading...

Friday, September 30, 2011

Puisi Terakhir Dari Suami

 Foto dari akhbar Utusan Malaysia

Inalillahi wainailaihi rojiun

LUMUT: SMS berbunyi ‘kutitiskan warkah buat diriku sendiri, hidup tanpa kasih dan sayang umpama hidup di padang pasir yang gersang’ diterima suri rumah, Che Wan Kamsah Ahmad Jaluddin, 35, sebelum diberitahu suami dan anak perempuannya maut dirempuh lori.

Che Wan Kamsah berkata, dia terkejut apabila menerima SMS puitis itu dari suaminya, Roslan Osman, 35, berikutan mangsa tidak pernah menghantar kiriman sebegitu sejak mendirikan rumah tangga 15 tahun lalu.


Lebih menyedihkan apabila ayat-ayat cinta itu dihantar beberapa minit sebelum mangsa dan anak perempuan mereka, Puteri Nurul Najwa Roslan, 12, menemui ajal dalam kemalangan malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di Kilometer 4, Jalan Seri Manjung-Segari berdekatan Kampung Sungai Rumput, di sini, dua beranak itu bersama seorang lagi mangsa, Ainuddin Abd Wahab, 15, maut apabila kereta dinaiki mereka bersama dua lagi mangsa dirempuh lori.


Ainuddin yang juga anak saudara Roslan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala dua lagi mangsa yang juga jiran arwah cedera.


Che Wan Kamsah yang ditemui di rumah mentuanya di Kampung Permatang Raja, Pantai Remis, dekat sini, semalam berkata dia terkejut menerima SMS berkenaan kerana arwah tidak pernah mengirim SMS seperti itu.

“Saya tidak menyangka SMS itu petanda akan kehilangannya. Saya akan menyimpan SMS itu selain menjadi pengubat rindu.


“Saya dan arwah sebelum ini ada sedikit pertengkaran menyebabkan saya terpaksa pulang ke rumah ibu di Sungai Siput bersama anak sulung kami berusia 15 tahun,” katanya.

Katanya, malah, petang hari kejadian, arwah menghubunginya supaya pulang segera ke Pantai Remis kerana rindu untuk bertemunya.

Che Wan Kamsah berkata, dia tidak menyangka kepulangannya untuk menemui arwah dan Puteri Nurul Najwa semalam bertukar hiba apabila hanya menatap jenazah mereka.

Menurutnya, arwah ditemani anak dan tiga yang lain dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membuat pemeriksaan penyakit batu karang di Hospital Seri Manjung (HSM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki lima mangsa itu bertembung sebuah lori tiga tan.

“Siasatan mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa yang datang dari Seri Manjung bertembung lori dari arah bertentangan selepas pemandunya gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan dua penumpang kereta Kancil berkenaan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPB,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: myMetro
              Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my