SEPANG – Perjalanan dua rakan sekerja membawa muatan rokok untuk diedarkan ke kedai berakhir tragedi apabila van yang dinaiki kedua-duanya terbabas sebelum terjunam berdekatan susur ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan menghala ke Mardi Serdang, pagi, semalam.
Saksi kejadian berkata, sebelum itu van berkenaan dilihat dipandu secara terhuyung-hayang dipercayai selepas salah satu daripada tayar kenderaan terbabit meletup dan pecah.
Akibat kejadian itu, van dipercayai dipandu laju itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke satu laluan kecil bersebelahan laluan lebuh raya itu. Penumpang dan pemandu van dikatakan tercampak keluar sebelum kenderaan terbabit menghempap tubuh badan seorang daripada mereka.
“Saya dapat lihat van itu dipandu ke kiri dan ke kanan sebelum terbabas ke tepi jalan dan terus melanggar besi pengadang di tepi jalan.
“Dalam kesibukan orang ramai memberi bantuan, salah seorang daripada mangsa tidak dapat dikeluarkan kerana tersepit di bawah van yang sudah terbalik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Imran Abdul Rahman ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila van terbabit dikatakan terbabas sendiri selepas tayar kenderaan itu pecah.
Katanya, pemandu van, Samsul Taib, 31, maut serta-merta di tempat kejadian manakala kelindannya hanya mengalami cedera ringan.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala pemandu van yang terbunuh terpaksa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat kerana tersepit di bawah van,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment