loading...

Thursday, September 29, 2011

Sempat Mengajar Melafazkan Kalimah Syahadah

Inalillahi wainailaihi rojiun


JEMPOL: “Ketika memangku ibu dalam ambulans, saya sempat mengajarnya melafazkan kalimah syahadah sebelum menyedari tangannya terlalu sejuk.

“Sejurus tiba di klinik, hati saya remuk apabila doktor memaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” kata Lilipitriama Ismail, 19, anak kepada pasangan suami isteri yang terbunuh dalam kejadian langgar lari di Felda Palong 13, dekat sini, semalam.

Perjalanan Ismail Amin, 55, dan isteri, Siti Hendon Andang, 50, untuk menjalani rutin harian sebagai penoreh berakhir tragedi memilukan apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan dipercayai lori di kawasan berkenaan, kira-kira jam 7.20 pagi.

Menurut Lilipitriama yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia ketika itu dalam perjalanan ke sekolah dan terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada ibu angkatnya memaklumkan kemalangan itu.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ayah sudah tertiarap atas jalan dengan kepala berlumuran darah. “Saya melihat keadaan ibu dan memangkunya dalam ambulans yang mahu menuju ke klinik berdekatan untuk rawatan. Namun, sejurus tiba, doktor mengesahkan ibu sudah tiada,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.


Katanya, kali terakhir dia melihat wajah ibunya kelmarin sebelum keluar dari rumah untuk tinggal bersama ibu angkat yang juga guru di sekolahnya. “Pada waktu itu, saya mendapati ibu terlalu gembira dan riang berbanding biasa selain sempat memeluk saya begitu erat.

“Saya tidak menyangka ia petanda akan kehilangan kedua-dua ibu bapa serentak buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian yang berlaku dan akan meneruskan kehidupannya bersama dua adik-beradik lain iaitu kakak, Liahisma Tusdiana, 22, dan adiknya, Julainormala, 13.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Suzuki dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Palong 13 untuk ke sebuah ladang getah di kawasan berkenaan.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilanggar sebuah kenderaan dipercayai lori dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu menyebabkan pasangan suami isteri itu terjatuh atas jalan manakala pemandu kenderaan itu melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati seorang daripada mangsa iaitu penunggang motosikal mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan manakala pemboncengnya yang juga isteri mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Palong 9 tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa yang mempunyai tiga anak perempuan itu dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.

Kata jurucakap itu, siasatan kejadian itu masih dijalankan terutama mengenal pasti pemandu kenderaan yang melarikan diri.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 13, petang semalam... Al-Fatihah

Sumber: myMetro

1 comment:

  1. lori byk sgt kat laluan felda uh
    memg sgt bhye tuk penunggang motoskal

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my