loading...

Tuesday, September 6, 2011

Bertembung Dengan Sebuah Lori Balak


Al-Fatihah...

FELDA SUNGAI RETANG – “Kebelakangan ini, arwah abang selalu berpesan kepada saya dan keluarga supaya pergi juga ke rumahnya, terutama ketika dia melakukan majlis kenduri perkahwinan anaknya. Saya tidak sangka, permintaan bersungguh itu adalah petanda akhir saya menemuinya Ahad lalu,”.

Itu antara luahan Wan Afzan Wan Nong, 52, adik kepada Allahyarham Wan Saidun Wan Nong, 58, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 1.40 petang semalam, berdekatan Felda Sungai Retang, Jerantut.

Kejadian dikatakan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa (Wan Saidun) cuba mengelak lubang jalan yang dalam proses dibaiki, seterusnya menyebabkannya hilang kawalan serta masuk ke laluan bertentangan.

Lantaran itu, kenderaan dipandu mangsa yang datang dari arah Kuala Tahan menuju ke Sungai Retang, bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan menghala ke Kuala Tahan, mengakibatkan mangsa tersepit serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Wan Afzan ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Jerantut semalam berkata, arwah abangnya adalah seorang yang periang dan suka bergurau malah amat disenangi anak saudaranya.

Menurutnya, arwah abangnya gemar berseloroh dalam keluarga, namun tidak menyangka pesanan untuk bertemu dia (Afzan) seisi keluarga adalah petanda terakhir bersamanya.

“Arwah abang bersungguh-sungguh menyuruh saya dan keluarga hadir ke majlis perkahwinan anaknya. Ketika di Sungai Retang, arwah abang menghantar saya dan suami sampai ke kereta walaupun saya sudah menyuruh dia supaya kembali melayan tetamu.

“Arwah ketika majlis anaknya itu sudah menunjukkan perubahan apabila kurang bercakap dan berjenaka, sebaliknya bertegas mahu menghantar saya sampai ke kereta,” katanya, di sini.

Wan Afzan berkata, kehilangan abangnya amat dirasai berikutan mereka baru bertemu pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Kehilangannya amat dirasai kerana arwah juga antara yang rapat dan amat mengambil berat hal keluarga serta sanak saudara,” katanya kepada :Sinar Harian.



Pengguna laluan Jerantut Kuala Tahan perlu lebih waspada



Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Inspektor Muhammad Muhaimin Jaffar berkata, hasil siasatan mendapati lori terbabit berada dalam laluannya, dan membrek sejauh kira-kira lima meter serta cuba mengelak sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa.

Menurutnya, kenderaan mangsa yang hilang kawalan setelah mengelak lubang menyebabkannya bertembung dengan lori tersebut, serta mengakibatkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori balak pula tidak mengalami kecederaan.

“Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan Jerantut Kuala Tahan supaya lebih berwaspada ketika melalui jalan tersebut serta mengamalkan pemanduan berhemah.

Seramai enam anggota Bomba Penyelamat Jerantut, diketuai Pegawai Operasi, Osman Malek bergegas ke tempat kejadian, dengan bomba mengambil masa lebih 20 minit untuk memotong bahagian tepi pintu kenderaan mangsa bagi mengeluarkannya. Turut hadir menziarahi mangsa serta waris di Rumah Mayat Hospital Jerantut semalam adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak serta Naib Ketua Umno Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my