loading...
Monday, September 5, 2011
3 Anak Maut Depan Mata
Inalilahi Wainalilahi Rojiun
SIMPANG RENGGAM: “Kejadian berlaku sekelip mata. Saya dan isteri hanya mampu melihat kereta Perodua kancil dinaiki tiga anak bertembung sebuah kenderaan lain kira-kira 100 meter di depan kami dan hanya dipisahkan dua kereta lain,” kata bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan jalan raya, Koperal Patah Raji Muhamad, 50.
Dalam kejadian di Kilometer 113.6, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran Pekan Yong Peng di sini, pada jam 2.45 pagi semalam, anak sulung pasangan berkenaan yang memandu Perodua Kancil, Ahmad Zakwan, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua adiknya, Ahmad Zahinuddin, 18, serta Ahmad Zarif, 12, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat (HBP).
Patah Raji dan isterinya, Sopiah Azmi, 48, yang menaiki kenderaan lain bersama dua lagi anak hanya tergamam melihat kereta dinaiki tiga beradik itu bertembung sebuah Proton BLM di depan mata sebelum memberhentikan kenderaan bagi membantu anak-anaknya.
Selain itu, ahli keluarga menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan namun tidak sempat menyelamatkan mangsa yang cedera parah di kepala dan badan. Pemandu Proton, Ho Hong Shou hanya cedera ringan.
Patah Raji yang bertugas di Balai Polis Simpang Renggam berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Renggam Jaya di sini, selepas berhari raya di Kampung Limau Hantu, Pangkal Meleret, Machang, Kelantan pada hari raya kedua.
“Sepanjang perjalanan semuanya berjalan lancar. Pada mulanya kereta dipandu Ahmad Zahinuddin, namun ketika tiba di Muadzam Shah, Pahang, kami berhenti rehat seketika untuk melepaskan penat sebelum Ahmad Zakwan menggantikan adiknya.
“Sebelum bertolak saya sempat bertanya pada Ahmad Zakwan, sama ada dia boleh meneruskan perjalanan dan dia menjawab tidak ada masalah.
“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, saya melihat kereta dinaiki tiga anak bertembung dengan sebuah kenderaan lain,” katanya.
Menurutnya, ketika berehat dia sempat berpesan kepada anaknya supaya memandu dengan berhati-hati, namun akur dengan ketentuan Ilahi selepas mereka bertiga maut dalam kemalangan. Diminta mengulas lanjut kejadian itu, Patah Raji yang masih sedih dengan pemergian tiga anak lelakinya hanya berlinangan air mata dan terpaksa ditenangkan saudara mara.
Sementara itu isterinya, Sopiah yang juga guru sekolah rendah di sini serta seorang anak perempuannya berusia 14 tahun, enggan mengulas lanjut tragedi menimpa keluarganya kerana masih trauma dengan kejadian itu.
Sumber: myMetro
tv3.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment