loading...
Wednesday, September 7, 2011
Rempuh Plaza Tol Jalan Duta
KUALA LUMPUR 6 Sept. - Seorang pemandu lori cedera parah setelah kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok penghadang Plaza Tol Jalan Duta, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang semasa lori yang membawa muatan alat ganti kereta dari Bukit Beruntung dekat sini, sedang menuruni bukit dan dipercayai tiba-tiba mengalami masalah brek.
Lori terbabit turut bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu oleh seorang pengarah projek yang sedang menunggu giliran untuk membayar tol.
Pemandu MPV terbabit, Khairul Aizad Mustafa, 25, bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan tersebut menyebabkan tiga lorong plaza tol di situ, terpaksa ditutup kepada semua kenderaan kerana lori terbabit melintang jalan sehingga mengakibatkan kesesakan sepanjang satu kilometer.
Pemandu lori yang mengalami kecederaan parah itu dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Khairul Aizad ketika ditemui memberitahu, semasa kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Putrajaya setelah melawat tapak projek pembinaan di Sungai Buloh.
"Semasa hampir memasuki lorong ke plaza tol, tiba-tiba kenderaan saya bergegar kuat dan kedengaran bunyi dentuman kuat di sebelah kiri kereta saya.
"Saya bernasib baik kerana sempat membelok kenderaan ke arah kiri sebelum lori terbabit merempuh tembok konkrit di plaza tol berkenaan," katanya.
Khairul Aizad yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, kemalangan tersebut berlaku pantas tetapi dia bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami kecederaan.
Sumber: Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment