loading...

Thursday, September 8, 2011

Pemandu Sani Express Dijel 4 Tahun

IPOH 7 Sept. – Pemandu bas dua tingkat Sani Express dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang dalam satu nahas ngeri, dua tahun lalu.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memerintahkan Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38, dari Yan, Kedah menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Selain memerintahkan tempoh pemenjaraan lelaki itu ditambah enam bulan lagi jika gagal membayar denda, mahkamah turut menggantung lesen memandu kelas E tertuduh selama tiga tahun bermula hari ini.

Mohamed Ruhizat membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang bermula sejak 29 Disember 2009.

Sepanjang perbicaraan, seramai 28 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Dalam keputusannya, Mohamed Ruhizat berkata, mahkamah mendapati tertuduh dalam keadaan tidak sedar semasa kejadian kerana menurut keterangan saksi, tertuduh tidak mendengar sebarang jeritan dari atas, bawah dan luar bas semasa kejadian.

Katanya, mahkamah turut mengambil kira keterangan saksi pendakwaan yang terdengar seseorang menyatakan “Maaf, saya terlelap” kepada penumpang serta keterangan tertuduh kepada pegawai penyiasat polis bahawa dia terlelap.

“Hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh bukan semata-mata hukuman tetapi pengajaran kepada tertuduh sendiri, pesalah-pesalah lain dan bakal-bakal pesalah supaya kejadian ini tidak berulang. Tanggungjawab pemandu bas dua tingkat cukup besar untuk elak kemalangan,’’ katanya.

Mohamed Ruhizat juga menyatakan, mahkamah tidak dapat menerima keterangan pembelaan tertuduh bahawa matanya silau terkena cahaya lampu tinggi sebuah kenderaan dari arah bertentangan semasa kejadian kerana ia tiada dalam laporannya kepada pihak polis dan jika benar sekalipun, tempohnya cuma 1.6 saat atau kurang.

“Menurut pegawai penyiasat, kelajuan bas sebelum kejadian ialah 91 kilometer sejam. Walaupun bas dipandu lebih satu kilometer sejam dari had laju dibenarkan 90 kilometer sejam di tempat itu, ia boleh jadi berbahaya terutamanya bagi bas berat dan dua tingkat.

“Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan yang konsisten bahawa bas tersebut dipandu secara terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan walaupun terdapat percanggahan tempoh masa kerana daya ingatan dan perspektif setiap individu adalah berbeza,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Kamil yang diwakili peguam bela, S. Arumugam dan Khairun Niza Husnin didakwa memandu bas bernombor pendaftaran WSX 5010 secara melulu kira-kira pukul 1 pagi, 26 Disember 2009 di Kilometer 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini.


Gambar yang diambil dari The Star /26.12.2009

Dengan perbuatannya itu, dia didakwa menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22, Mohd. Bilal Osman, 22, dan Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, bersama adiknya, Sharifah Hasanah, 15, Musa @ Ismail Abdullah, 64, Noor Jismi Noordin, 25, Ng Kah Kit, 14, dan kakaknya, Ng Poh Ngoh, 23.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Arumugam memberitahu mahkamah, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia antara dua dan 10 tahun, belum membuat keputusan untuk merayu kes tersebut kerana tidak mampu menanggung kos guaman yang setakat ini ditanggung oleh syarikat Sani Express.

Sementara itu, Mohd. Kamil yang memakai baju kemeja berwarna cerah serta seluar panjang berwarna gelap dan berkasut sukan, dilihat dalam keadaan begitu sugul di dalam kandang pesalah sambil tangannya diletakkan di atas kepala seperti tidak menjangkakan hukuman tersebut.

Sementara itu, Pengurus Operasi Sani Express, Jamali Mahat yang turut hadir memberitahu, beliau belum menerima sebarang mandat pengurusan tertinggi syarikat untuk membantu Mohd. Kamil membuat rayuan dalam kes tersebut.

Menurut beliau, Mohd. Kamil yang mula berkhidmat dengan syarikat itu sejak Ogos 2009, diberikan cuti tanpa gaji sejak didakwa di mahkamah.


Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my