SELANDAR - Seluruh warga Sekolah Agama Arab Jaim Selandar di sini, masih terasa kehilangan salah seorang guru Bahasa Melayu sekolah itu, Hazlinah Abu Samah, 34.
Hazlinah terlibat dalam nahas jalan raya Bemban 19 Jun lalu, sehingga meragut nyawanya.
Beliau dianggap sebagai tulang belakang sekolah dan sukar untuk dicari pengganti keran beliau seorang guru yang berdedikasi dan komited ketika menjalankan tugas sebagai seorang pendidik.
Guru besarnya, Ab Kadir Ab Jalil berkata, sebelum kejadian arwah baru selesai menganjurkan program teknik menjawab soalan Bahasa Melayu bagi murid Tahun Enam.
Menurutnya, pihak sekolah masih terasa kehilangannya seperti baru semalam meninggalkan mereka, walaupun sudah beberapa minggu berlalu, malah ada antara teman baik arwah pasti bersedih jika melihat meja arwah.
“Sifat arwah yang sentiasa mengutamakan murid dapat dilihat melalui pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu, sekali gus menjadikan sekolah ini sekolah kedua terbaik dalam negeri ini sejak dua tahun berturut-turut bagi mata pelajaran berkenaan.
“Saya boleh umpamakan arwah mati syahid kerana sebelum arwah meninggal dunia dia baru lepas menganjurkan program teknik menjawab soalan untuk murid Tahun Enam. Pada waktu itu anaknya demam cacar dan program itu boleh sahaja ditunda pada hari lain, namun dia tetap mengutamakan murid dengan meneruskannya,” katanya.
Ab Kadir berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Tuntutan Kematian Insurans Etika Takaful RM51,607.27 daripada Group Agency Director Etiqa Takaful, Huzaimy Abd Kadir kepada suami arwah, Mohd Hafizi Suhaimy di Bilik Mesyuarat Sekolah Rendah Agama Arab Jaim Selandar di sini, semalam.
Ab Kadir berkata, arwah seorang guru yang tidak bermasalah dan tetap menjalankan tugas dengan baik, walaupun terpaksa berjauhan dengan suami.
Menurutnya, pada hari terakhir di sekolah, mereka perasan arwah mengemas meja dan menyusun barangnya ke dalam kotak seolah-olah mahu berpindah.
“Walaupun masih bersedih dan terasa namun kami reda dan berharap rohnya ditempatkan bersama golongan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafizi yang ditemui berkata, wang insurans yang baru lapan bulan disertai arwah isterinya itu akan disimpan untuk masa depan kedua-dua anaknya Harith Hakimi, 9, dan Mohammad Farid, 8, terutama untuk pendidikan.
“Selain itu saya juga merancang melaburkan wang berkenaan untuk mereka,” katanya.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment