loading...
Thursday, July 14, 2011
Penduduk Jalan Selasih Empat pula jadi mangsa
TAMAN PASIR PUTIH - Selepas Jalan Selasih 10, di sini, dipasang palang besi had ketinggian hujung bulan lalu, lori mengangkut tanah mula menggunakan Jalan Selasih Empat sebagai laluan baru.
Pengadu, Mohamed Salleh Ibrahim berkata, rata-rata penduduk meluahkan rasa lega dengan tindakan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) memasang kembali palang besi di jalan masuk ke Jalan Selasih 10.
Menurutnya, bagaimanapun usaha itu hanya melegakan penduduk Jalan Selasih 10 apabila penduduk di Jalan Selasih Empat pula mula menjadi mangsa selepas dijadikan laluan baru aktiviti mengangkut tanah.
“Kita berterima kasih kepada MPPG kerana prihatin dengan masalah yang membelenggu penduduk selama ini dan penghargaan juga buat Sinar Harian yang mengetengahkan isu masyarakat sehingga mendapat maklum balas positif daripada pihak bertanggungjawab.
“Kita lega kerana lori tanah yang menjadi ancaman keselamatan selama ini tidak lagi berulang-alik di halaman rumah kami, tetapi kesian kepada penduduk di Jalan Selasih Empat yang menerima nasib seperti kami sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun keadaan itu membuatkannya simpati kepada penduduk di Jalan Selasih Empat yang pastinya terpaksa berdepan masalah lecak pada musim hujan dan habuk pada musim panas.
“Kita hairan kenapa pihak berkenaan tidak mahu menggunakan laluan lain, tetapi masih berdegil menggunakan laluan dalam kawasan taman perumahan, sedangkan ia jelas menyusahkan penduduk.
“Kita mohon jasa baik MPPG supaya membuat tinjauan dengan kerap ke kawasan ini kerana tidak mahu penduduk di taman perumahan ini terus menjadi mangsa keadaan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sinar Harian April dan Mei lalu menyiarkan luahan kurang senang penduduk terhadap masalah lori mengangkut tanah yang berulang-alik menggunakan laluan di dalam kawasan taman perumahan sejak lima tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment