Sinar Harian cuba membongkar cerita mengenai jalan itu yang dikatakan mempunyai kejadian pelik sehingga meragut banyak nyawa penggunanya termasuk lima guru silat yang maut dalam kemalangan di laluan sama, kelmarin.
Selain itu, difahamkan laluan itu sentiasa dilalui pelbagai kenderaan dan menjadi jalan utama pengguna sejak ia diturap untuk ke Langgar, Pokok Sena dan Pendang.
Seorang mangsa kemalangan, Ahmad Jaafar, 47, dari Perumahan Keda Tanjung Setol turut berkongsi pengalaman di sebalik kejadian kemalangan yang berlaku pada dirinya ketika memandu lori tanah di laluan itu kira-kira awal Februari 2009.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku di jalan yang sama iaitu dari arah Langgar ke Pendang apabila lori yang dipandunya itu terbabas di tepi kawasan sawah sehingga melanggar tiga pokok besar di bahu jalan itu sehingga semua pokok itu patah.
“Kemalangan itu menyebabkan seluruh bahagian hadapan lori saya remuk teruk, namun saya bersyukur kerana saya tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali masalah pada urat saraf bahagian lutut sahaja.
“Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika saya dalam perjalanan dari Tanjung Bendahara Alor Setar menuju ke Tobiar itu tidak dijangka apabila saya memandu dalam kelajuan 60 kilometer sejam sahaja dengan penuh berhati-hati dan berwaspada, namun tiba-tiba stereng lori saya dipulas kuat oleh satu ‘benda’ ke arah kiri jalan sehingga melanggar pokok,” katanya.
Ahmad berkata, dia bergelut dengan ‘benda itu’ dengan mengawal stereng lorinya, namun tidak terdaya memandangkan stereng lorinya ketika itu terlalu berat.
“Selepas kejadian itu, keadaan diri saya tidak bermaya seolah-olah ada ‘benda halus’ yang menumpang pada diri saya apabila seluruh badan terasa berat.
“Pelbagai ubat daripada hospital dan klinik telah saya makan, namun keadaan saya tidak berubah dan menyebabkan saya pergi berubat secara tradisional kepada seorang bomoh. Namun saya dimaklumkan oleh bomoh berkenaan bahawa ada ‘benda misteri’ yang menumpang pada diri saya pulang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, dia cuba mengikut perubatan yang dilakukan secara tradisional apabila bomoh berkenaan memandikan seluruh badannya dan membawanya melepaskan ‘benda halus’ di jalan terbabit di mana tempat kemalangan berlaku.
Sementara itu, pihak bertanggungjawab membuat pemeriksaan terhadap lorinya, namun dimaklumkan keadaan lori itu tidak mengalami sebarang masalah ketika kejadian terbabit.
Selain itu, Chik Abdullah, 59, menceritakan bahawa jalan itu turut meragut nyawa dua kakaknya.
“Kakak sulung saya iaitu Pura Abdullah, 63, meninggal dunia 10 tahun lalu manakala kakak bongsu saya meninggal pada 2009 di lokasi yang sama dan cara kemalangan yang sama apabila motosikal yang ditunggang mereka dilanggar kereta dari arah belakang.
“Saya tidak menyangka nyawa dua kakak saya berakhir di jalan itu apabila mereka mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala,” katanya.
Mangsa sering nampak haiwan
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Alor Pudak, Yaacob Yunus, 70, mengakui bahawa jalan itu meragut banyak nyawa apabila boleh dikatakan setiap hari berlaku kemalangan.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku melibatkan kenderaan mangsa terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain.
“Laluan ini lurus sahaja dan saya akui banyak cerita misteri yang didengari daripada penduduk kampung berhampiran laluan ini apabila mereka sering ternampak benda pelik yang menyerupai pelbagai jenis haiwan seperti kambing, kerbau dan lembu.
“Penduduk yang pernah menjadi mangsa kemalangan pernah ternampak seorang lelaki dan perempuan berpakaian jubah di laluan itu terutamanya pada tengah malam,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kampung Alor Berala, Mohd Noor Awang berkata, beberapa tahun lalu penduduk sibuk menceritakan bahawa ternampak mangsa yang sudah mati berjalan di laluan itu pada awal pagi.
“Isteri saya pernah nampak bayangan wanita di jalan itu sehari sebelum satu kemalangan maut di situ,” katanya.
Sumber: sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment